
Mereka berkata, Jamilah yang pada mulanya keberatan menyertai politik, sudah bersetuju bertanding di kerusi itu yang dimenangi suaminya ketika mengetuai BN untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, tahun lalu.
Difahamkan, keputusan itu dibuat bagi mengurangkan tindakan melobi yang sengit.
Sebelum ini, timbul spekulasi anak bongsu mereka, Azizul Annuar menjadi pilihan BN susulan kematian Adenan pada 11 Januari lalu.
Menurut sumber, selain Azizul, anak Adenan daripada perkahwinan pertamanya, Abdul Aziz, juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi.
Adenan pernah berkahwin dengan kakak bekas ketua menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang kini menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
PRK DUN Tanjung Datu akan diadakan pada 18 Februari ini, selepas penamaan calon pada 4 Februari dan pengundian awal pada 12 Februari nanti.
Adenan meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, akibat komplikasi jantung pada usia 72 tahun, hanya 8 bulan selepas mengetuai BN memenangi 72 daripada 82 kerusi dipertandingkan pada PRN Sarawak ke-11, Mei lalu.
Sementara itu, penganalisis berkata, selain populariti Adenan, pemilihan Jamilah untuk bertanding di Tanjung Datu juga mampu menarik undi simpati dan mungkin mendapat kemenangan lebih besar berbanding majoriti 5,892 undi yang diperolehi Adenan.
“Ia kubu kuat PBB di kawasan luar bandar. Dengan undi simpati, pastinya kemenangan 100% untuk BN,” kata Prof Madya Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak.
Seorang lagi pemerhati Sarawak, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Pawi berkata, jika bertanding, Jamilah pasti akan menang kerana beliau mempunyai pengalaman luas berkhidmat kepada rakyat.
“Semua orang tahu beliau ialah wanita di sebalik kejayaan politik Adenan. Jika beliau bertanding di Tanjung Datu, beliau akan menang tanpa bertanding atau mendapat kemenangan besar,” katanya.
Jika terpilih, Jamilah bukan balu penyandang yang pertama dipilih BN untuk menggantikan suaminya.
Tahun lalu, Mastura Mohd Yazid bertanding dan menang di PRK Parlimen Kuala Kangsar, selepas suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia dalam nahas helikopter ketika berkempen untuk PRN Sarawak.