Abang Johari janji teruskan legasi Adenan di Sarawak

Abang Johari janji teruskan legasi Adenan di Sarawak

Inisiatif tuntut autonomi dan penurunan kuasa tidak akan dihentikan.

Abang-Johari_talk
KUCHING:
Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memberi jaminan kerajaan negeri akan meneruskan rundingan autonomi dengan kerajaan Persekutuan dan tidak akan sesekali mengabaikan inisiatif yang telah dilakukan oleh Tan Sri Adenan Satem.

Abang Johari, yang mengangkat sumpah Jumaat lalu juga menegaskan bahawa tidak akan ada Umno di negeri itu.

“Selagi saya ketua menteri dan pemimpin Sarawak, kita tidak akan membenarkan Umno datang. Kami akan bekerja bersama-sama mendukung semangat Barisan Nasional, tetapi Umno tidak akan berada di Sarawak,” kata Abang Johari kepada pemberita selepas ahli-ahli kabinet baru negeri mengangkat sumpah jawatan di dewan undangan negeri di sini hari ini.

Dalam pilihan raya Sarawak Mei lepas, Adenan menetapkan 53 “prinsip dan tindakan” untuk melindungi kepentingan Sarawak. Dalam penampilan terakhir beliau di dewan undangan negeri, beliau mengatakan kebanyakan janji telah dipenuhi, dan beberapa perkara seperti penurunan kuasa kepada Sarawak serta komitmen Petronas terhadap negeri itu dalam proses perundingan.

“Saya ingin sebut di sini bahawa kita akan meneruskan apa yang dilakukan oleh ketua menteri. Kita telah menang pilihan raya kira-kira 8 bulan yang lalu dan kami akan terus memenuhi janji beliau dan kami akan bekerja sebagai satu pasukan. Kita akan cuba yang terbaik untuk mengotakan apa yang telah dijanjikan,” kata Abang Johari.

“Dan saya ingin menyebut di sini bahawa kita juga akan terus menuntut penurunan kuasa. Kami akan berunding dengan kerajaan Persekutuan, khususnya perdana menteri mengenai hak Sarawak seperti yang dinyatakan oleh ketua menteri,” katanya .

Abang Johari berkata beliau “amat bernasib baik” berada dalam jawatankuasa induk proses perundingan penurunan kuasa dan dia akan “menyumbang apa yang telah dirundingkan berkaitan pelbagai subjek dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 serta Perlembagaan Malaysia.”

“Kita akan terus berusaha dalam apa jua subjek dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 dan juga perlembagaan persekutuan,” katanya.

“Dan akhir sekali, kita semua berjanji akan melindungi hak Sarawak dan untuk menunaikan apa yang dijanjikan pada pilihan raya lalu,” katanya dalam rujukan terhadap pelbagai anggota kabinet negeri yang hadir dalam sidang akhbar itu.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan tetap meneruskan royalti minyak 20% untuk Sarawak, Abang Johari berkata, “Ya, sebagai asas untuk kita berunding. Tetapi tidak semestinya kita boleh mencapai 20%, ia bergantung.”

Abang Johari juga mengesahkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan tuntutan isu tanah Hak Adat Bumiputra (NCR) berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Disember lalu yang menetapkan ‘pemakai menoa’ (kawasan wilayah) dan ‘pulau galau’ (hutan simpan masyarakat) tidak mempunyai kuasa undang-undang di Sarawak.

Kabinet negeri kekal

Sementara itu, barisan kabinet negeri tidak berubah kecuali portfolio perancangan kewangan dan ekonomi, yang sebelum ini dipegang Adenan.

Kini 5 kementerian di bawah Abang Johari: Perancangan Kewangan dan Ekonomi, Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, dan Perumahan dan Urbanisasi.

Selain itu, jawatan timbalan ketua menteri ketiga masih kosong selepas Abang Johari dilantik ketua menteri.

Sebelum ini Adenan telah melantik 3 timbalan ketua menteri selepas pilihan raya Mei: Douglas Uggah Embas sebagai naib presiden kanan dan Abang Johari sebagai naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dan James Jemut Masing, presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Pada dasarnya, tidak ada perubahan dalam barisan kabinet buat masa ini,” kata Abang Johari.

Ditanya bila atau jika timbalan ketua menteri baru akan dilantik, beliau berkata, “Saya akan menumpukan perhatian untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh ketua menteri. Beri saya masa. Saya akan merombak kabinet (negeri) apabila sampai masanya.”

Bagi kerusi DUN Tanjung Datu, yang telah dikosongkan berikutan kematian Adenan, Abang Johari berkata calon sesuai masih belum dimuktamadkan.

“Kami baru sahaja selesai berkabung. Saya akan maklumkan anda,” katanya.

“Kriterianya ialah selagi orang boleh menerima dia. Dan, calon itu mesti boleh menang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.