Guan Eng selar timbalan menteri, blogger remaja tak matang

Guan Eng selar timbalan menteri, blogger remaja tak matang

Lim Guan Eng membidas Asyraf yang memuji blogger remaja kerana membuat laporan polis berhubung catatan 'hasutan' beliau.

lim-guan-eng_Asyraf-Wajdi-Dusuki_600
GEORGE TOWN:
Lim Guan Eng hari ini menyelar seorang timbalan menteri dan blogger remaja “tidak matang”, susulan kekecohan berhubung laporan polis terhadap ketua menteri Pulau Pinang itu yang didakwa tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua-dua orang ini tidak matang. Apabila mereka matang, mereka akan faham.

“Timbalan menteri ini seperti remaja 13 tahun. Masih seorang budak. Biarlah mereka menjadi matang, barulah saya akan jawab (kenyataan) mereka…masa itu mereka lebih memahami Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Setiausaha agung DAP itu menyasarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ekoran kenyataannya semalam yang Lim sepatutnya malu kerana remaja berusia 14 tahun lebih memahami Perlembagaan Persekutuan walaupun masih muda.

Ahmad Ali Abdul Karim, 14, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor pada 24 November lalu selepas membaca artikel di laman blog Lim yang dianggapnya berbentuk kenyataan mengelirukan berhubung rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Ahmad Ali antara 5 orang di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur yang membuat laporan polis terhadap Lim menyebabkan beliau disiasat polis di bawah Akta Hasutan.

Lim dalam catatan di blognya itu berkata, RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak berperlembagaan dan menyamakannya dengan hudud.

Remaja itu mendakwa beliau tersinggung dengan catatan Lim yang merupakan satu penghinaan kepada sistem Mahkamah Syariah, selain boleh dilihat sebagai mencabar Yang di-Pertuan Agong yang mahu Mahkamah Syariah diperkasakan.

Adun Air Putih dan ahli Parlimen Bagan itu berkata, tindakan remaja terbabit boleh difahami memandangkan beliau belum matang.

“Tetapi bagi seorang (timbalan) menteri untuk sokong beliau, itu menunjukkan beliau naif dan tidak matang.

“Saya hanya menyuarakannya sebagai ahli Parlimen dan seorang warganegara.

“Jika saya nak beri pandangan pun tak boleh, maka sekat saya menggunakan Akta (Hasutan) yang juga bermakna rakyat tidak boleh bercakap apa-apa lagi,” kata Lim.

Polis siasat Guan Eng kerana laporan dibuat remaja 13 tahun

Siapa remaja 14 tahun buat laporan polis terhadap Guan Eng?

‘Guan Eng patut malu, remaja 14 tahun lebih faham Perlembagaan’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.