
NGO yang dikenali sebagai Bebas itu dalam kenyataan hari ini menyifatkan ia sebuah pergerakan memperjuangkan kesaksamaan, menentang diskriminasi kaum dan menyokong kebebasan beragama di Malaysia.
Bebas berkata, perhimpunan aman yang dirancang berlangsung pada 18 Februari ini di Padang Merbok, ibu negara, bertujuan membantah usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tahun lalu.
“Perhimpunan kami dinamakan ‘Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi’ akan diadakan mulai 3 hingga 5 petang pada 18 Februari.
“Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, dialu-alukan menyertai perhimpunan itu bagi membantah RUU Hadi yang merupakan undang-undang berbahaya yang boleh membuka pintu kepada hukum hudud,” menurut kenyataan ditandatangani 3 ahli bernama Azrul Mohd Khalib, Azira Aziz dan R Suresh.
Menyifatkan pindaan RUU 355 “tidak ikhlas”, Bebas berkata, tiada justifikasi atau rasional diberikan untuk penambahbaikan hukuman syariah.
Laporan sebelum ini menyatakan RUU 355 asal sudah diubah suai dan kini ia terhad kepada penambahan hukuman, bukannya menguatkuasakan enakmen kanun jenayah syariah.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan, berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
“Kami dengar tiada petikan kajian penyelidikan yang membuktikan hukuman lebih berat mampu mencegah atau mengurangkan jenayah syariah atau penjenayah.
“Mana-mana pembaharuan yang dicadangkan perlu dilakukan dengan dasar berasaskan bukti, bukan sekadar retorik,” kata Bebas.
NGO itu berkata, RUU 355 perlu diteliti dan dilayan seperti RUU lain yang perlu melalui proses pengundian di Parlimen, selain pindaan dan pendapat Hadi perlu dibuka kepada perdebatan rakyat, termasuk orang bukan Islam.
Ini kerana, katanya, wang yang digunakan untuk menguruskan sistem Mahkamah Syariah dan penguatkuasaan undang-undang syariah datang daripada pembayar cukai Islam dan bukan Islam di negara ini.
“Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, berhak bersuara mengenai isu dan undang-undang yang secara drastik boleh mengubah struktur sekular negara ini dan cara hidup kita.
“Kami mengingatkan ahli Parlimen, mereka mewakili pengundi Malaysia berbilang kaum dan agama. Keputusan mereka perlu mewakili suara rakyat dan mengambil kira umat Islam dan bukan Islam yang menentang RUU Hadi.
“Oleh itu, kami menyeru semua ahli Parlimen yang mempunyai kepercayaan berbeza, termasuk penggubal undang-undang Islam untuk berani mengundi tidak kepada RUU Hadi.”
Tiada maklumat lanjut diberikan untuk himpunan balas RUU 355 yang akan diadakan sebulan lagi, tetapi butiran mengenai Bebas terdapat di laman Facebook mereka.