
Seorang sumber rapat kepada keluarga itu memberitahu FMT, Azizul mungkin calon yang akan diletakkan bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian Adenan minggu lalu akibat komplikasi jantung.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya Dr Awang Azman Pawi pada minggu lalu berkata Azizul boleh menjadi calon yang baik kerana berpendidikan tinggi dan dikagumi ramai kerana sikapnya yang merendah diri.
“Azizul berpengalaman di unit perancangan negeri. Malah, beliau mewakili generasi baharu pemimpin Sarawak. Beliau ada bakat dalam politik dan saya percaya akan menang besar jika bertanding di Tanjung Datu,” katanya seperti dilaporkan FMT pada Ahad.

Azizul, 26, graduan dalam bidang ekonomi dari Murdoch University, Australia.
Beliau juga aktif dalam sukan, mengetuai beberapa organisasi di Sarawak termasuk golf dan taekwando.
Azizul juga sering turut serta dalam program membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Pada acara “Go Bald” tahun lalu, Azizul berjaya memujuk 20 ahli keluarganya membotakkan kepala, dan berjaya mengumpul RM100,000 dalam tempoh seminggu, lapor The Borneo Post sebelum ini.

Go Bald 2016 ialah acara yang dianjurkan untuk mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak pesakit kanser.
Puan Sri Jamilah Anu, balu Adenan juga dilihat sebagai calon berpotensi bagi kerusi Tanjung Datu, namun, sumber itu memberitahu FMT Jamilah enggan bertanding dalam pilihan raya kecil.
Adenan dipuji kerana berjaya menerajui BN Sarawak memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya negeri tahun lalu, menawan 72 daripada 82 kerusi DUN. Beliau memenangi kerusi Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi.