
Tumpuannya kini terhadap sesi latihan bersama skuad negeri bagi menghadapi saingan Liga Super yang akan bermula hujung minggu ini.
“Saya belum buat apa-apa perancangan jangka pendek atau panjang (berkaitan sumbangan), hanya tumpu kepada latihan,” kata pemain tengah pasukan Pulau Pinang itu kepada FMT, seminggu selepas menjadi bahan perbualan ramai susulan pengiktirafan yang diberikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) kerana gol ajaibnya.
Faiz juga enggan mengumumkan perancangannya kerana “untuk sendiri sahaja”.
Setakat ini, pemain berasal Kedah itu menerima pelbagai ganjaran, antaranya RM100,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan, RM50,000 daripada kerajaan Pulau Pinang, RM50,000 daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).(RM50,000) dan RM20,000 daripada kerajaan Kedah.
Malah sebelum menerima anugerah itu lagi, penaung Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan sumbangan RM15,000.
Faiz berharap dapat meningkatkan prestasinya membantu Pulau Pinang.
“Untuk musim depan, saya ingin buat yang terbaik untuk diri sendiri dan pasukan. Jika diberi peluang, saya berharap dipilih mewakili negara,” katanya lagi.
Faiz menjaringkan gol bersejarah itu dalam perlawanan menentang Pahang di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, 16 Februari lalu.
Setakat ini, video yang dimuatnaik saluran FIFATV di YouTube sudah ditonton hampir 4 juta kali.