
Ahli Parlimen Pandan itu merujuk laporan Wall Street Journal semalam berhubung penjualan itu bagi meraih dana RM281.2 juta (AS$63.1 juta).
Menurut laporan itu, Felda menawarkan penjualan sahamnya pada kadar RM8 hingga RM8.05. Harga saham Maybank ditutup pada RM8.05 semalam.
“Felda akan melupuskan 20% pegangan dalam Maybank. Kini, Felda adalah pemegang saham ke-4 terbesar di sana, selepas ini tidak tahulah akan jatuh nombor berapa,” kata naib presiden PKR itu pada sidang media di Invoke Space hari ini.
Katanya, tindakan mencairkan aset baik dan strategik itu sudah cukup untuk menimbulkan polemik.
“Tetapi, untuk menjualnya bagi membeli saham (EHP) dengan harga lebih mahal daripada pasaran tentulah tidak betul,” katanya.
Baru-baru ini, Felda menandatangani perjanjian dengan Rajawali Group untuk membeli 37% saham EHP pada harga AS$505.4 juta (RM2.263 bilion), 26% kurang daripada apa yang Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) rancang untuk bayar kepada EHP yang merupakan antara syarikat minyak sawit terbesar di Indonesia.
Bulan lalu, Rafizi mendakwa Felda akan membayar premium 290% atau 3 kali ganda lebih tinggi untuk membeli 37% saham EHP berdasarkan harga purata saham syarikat itu pada 2015.
Pelbagai pihak termasuk Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak mempersoalkan kewajaran pembelian itu yang disifatkan terlalu mahal.
“Saya menuntut Felda menghentikan serta-merta penjualan sahamnya dalam Maybank semata-mata untuk membiayai pembelian itu,” kata Rafizi.
Beliau juga mendakwa Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad cuba mengelak menjawab isu penyahsenaraian FGV daripada Bursa Malaysia dengan memperlekehkan statistik dikemukakannya.
“Angka tersebut daripada laporan rasmi. Beliau juga menuduh saya timbulkan spekulasi, sedangkan beliau sendiri mengemukakannya sebagai salah satu daripada 4 tumpuannya sebagai pengerusi yang dilaporkan media,” katanya.
Sebelum ini, Shahrir menepis dakwaan Rafizi yang penyahsenaraian FGV daripada Bursa Malaysia akan menyebabkan kerugian RM7.8 bilion sebagai “spekulasi semata-mata” dan “bukan kiraan betul”.