
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan Ahmad Ali Abdul Karim, 14, itu menunjukkan remaja tersebut lebih memahami Perlembagaan walaupun masih muda.
“(Lim) Guan Eng seharusnya malu apabila seorang remaja berumur 14 tahun ini lebih memahami Perlembagaan negara.
“Saya ucapkan syabas kepada Ahmad Ali,” katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra dan penerangan isu semasa di Universiti Teknologi Mara Raub, hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang antara lain menyebut Ahmad Ali membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor pada 24 November lalu selepas membaca artikel di laman blog Lim yang dianggapnya berbentuk kenyataan mengelirukan berhubung RUU 355.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, pindaan RUU 355 tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan kerana usul berlandaskan Perkara 3 Perlembagaan menyatakan Islam adalah agama persekutuan.
“Sebagai sebuah negara yang diberikan status agamanya dan diperkukuhkan lagi dalam Perkara 37, sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kesucian agama Islam, kerajaan boleh membuat apa sahaja undang-undang yang berkaitan kepentingan orang Islam, selagi ia dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.