
Lim Lip Eng yang juga ahli Parlimen Segambut berkata cadangan itu juga tidak relevan dilaksanakan di negara ini yang masih berdepan masalah pengangkutan awam.
“Perbuatan Ku Nan dan kementeriannya yang cadang melarang penggunaan kapcai di Kuala Lumpur membuktikan bahawa mereka sebenarnya pembuat dasar yang pemalas.
“Ini juga merupakan sebab kenapa kementeriannya adalah suatu badan yang tidak relevan dan melakukan pertindihan kerja serta membazir dana negara sedangkan DBKL mampu dan sebenarnya sedang melakukan tugas-tugas ini,” katanya merujuk Kementerian Wilayah Persekutuan yang diterajui Tengku Adnan.
Lim berkata Kuala Lumpur masih belum boleh disamakan dengan bandar raya besar lain.
Menurutnya, rakyat tidak mempunyai banyak pilihan, tidak seperti di negara lain yang mempunyai jaringan pengangkutan awam yang lebih cekap.
“Rakyat tidak akan memilih untuk menunggang kapcai sekiranya ada pilihan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Tengku Adnan dilaporkan berkata kerajaan mengkaji kemungkinan melarang penggunaan motorsikal kapcai, tetapi mengakui pelaksanaan itu ada kaitan dengan kemudahan pengangkutan awam.
“Kita akan melihat kemungkinan melarang motor ‘kapcai’ masuk ke kotaraya apabila pengangkutan awam yang murah boleh didapati,” katanya, dan menambah kenderaan kecil seperti itu sering digunakan oleh peragut.
Cadangan itu mendapat bantahan serta merta PKR, yang berkata dasar itu mendatangkan kesan negatif terutama kepada industri yang bergantung kepada motorsikal.
“Ketika harga minyak dan barang semakin meningkat, dan jaringan pengangkutan awam dari pintu ke pintu masih tidak lengkap, larangan ini tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai penyelarasan yang baik,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Cadangan itu antara lain dipercayai bagi mengawal pencemaran di pusat bandar.
Lim bagaimanapun mempersoalkan alasan itu dan berkata kapcai tidak dilarang di mana-mana ibu kota utama dunia seperti New York, London dan Tokyo.
“Seharusnya cukai jalan bagi kenderaan 3000cc ke atas sewajarnya dinaikkan memandangkan kenderaan jenis ini adalah kenderaan yang paling kuat ‘makan minyak’ dan selalunya dimiliki oleh golongan berpendapatan tinggi,” katanya.
Ketika ekonomi suram, larang ‘kapcai’ dasar tidak masuk akal