Tindakan tatatertib kerana pamer plakad 1MDB ‘mengarut’

Tindakan tatatertib kerana pamer plakad 1MDB ‘mengarut’

Kumpulan pelajar pertikaikan kewajaran tindakan tatatertib terhadap siswa yang mempamerkan plakad "1MDB kami mahukan jawapan".

UMANY
PETALING JAYA:
Sekumpulan siswa mengecam tindakan tatatertib terhadap pelajar Universiti Malaya (UM) yang mempamerkan plakad berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tahun lepas.

Dalam kejadian itu, 4 pelajar UM mempamerkan plakad “1MDB jangan spin (putar belit)” dan “1MDB we want answers (1MDB kami mahukan jawapan)” Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda memberi ucapan kepada pelajar dalam satu majlis penerangan.

Presiden Persatuan Belia Universiti (Umany) Kon Hua En berkata tindakan tatatertib terhadap siswa terbabit tidak berasas kerana kejadian itu tidak membawa kepada gangguan awam selepas majlis itu.

“UM menganggap ‘memaparkan sepanduk’ akan memudaratkan ketenteraman awam.

“Kami percaya tuduhan yang dibuat oleh universiti sama sekali tidak masuk akal. Ini kerana tidak ada ‘gangguan’ selepas majlis penerangan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar yang diadakan di perkarangan UM petang ini.

Bekas presiden Umany, Ho Chi Yang; Timbalan Presiden Tan Jia You, Ketua Biro Publisiti Chua Hun Ti dan Setiausaha Agung Lau Li Yang menerima notis prosiding yang akan diadakan pada 18 Januari nanti.

Mereka dituduh memudaratkan ketenteraman awam, kesopanan serta tatatertib dan menghasut atau menyertai pemulauan kegiatan rasmi universiti.

Koh menggesa UM menggugurkan semua pertuduhan dan menyeru universiti berfikiran terbuka dan menerima kepelbagaian idea.

“Ini adalah cara terbaik untuk memupuk pemikiran kritis dalam kalangan pelajar. Kami juga menggesa UM untuk mengambil tugas dan tanggungjawab sebuah universiti, iaitu untuk menegakkan kebenaran dan keadilan sosial. ”

Turut hadir aktivis pelajar Anis Syafiqah Mohd Yusof, yang baru-baru ini digantung 6 bulan oleh UM dan denda RM400 kerana terlibat dalam perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 (MO1).

Beliau menempelak UM kerana memberi notis singkat kepada 4 pelajar itu.

“Pihak universiti tidak profesional kerana memberikan hanya 1 minggu kepada pelajar untuk bersedia untuk prosiding itu.

“Saya tertanya-tanya jika universiti melakukan ini dengan sengaja supaya pelajar boleh dihukum apabila mereka tidak bersedia.”

Jika 4 pelajar tersebut didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin UM, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM200, digantung, atau dibuang.

Siswa UM terbabit demo 1MDB berdepan tindakan tatatertib

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.