
Sedangkan hanya beberapa hari lalu, Amazon dipaksa menghentikan jualan alas kaki bercorak bendera India kerana mencetuskan kemarahan rakyat negara itu.
Al Jazeera melaporkan, India pada minggu lalu mendesak Amazon memohon maaf kerana menjual alas kaki memaparkan bendera India yang dilihat sebagai satu penghinaan kepada negara itu.
Menteri Luar India Sushma Swaraj dilaporkan memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat itu jika tidak menghentikan jualan alas kaki berkenaan.
Tinjauan pada pagi Ahad mendapati selipar itu masih boleh dibeli di laman web Amazon, tetapi Al Jazeera melaporkan tidak lama selepas itu, produk berkenaan sudah tiada lagi di laman web.
Jurucakap Kementerian Luar India, Vikas Swarup dipetik sebagai berkata duta India di Washington sudah diarahkan memberitahu Amazon, mereka sepatutnya menghormati sensitiviti dan sentimen rakyat India.
Beberapa pengguna memberi komen pedas di bahagian Maklum balas Pelanggan di laman senarai barangan Amazon dan mengutuk penjualan selipar itu.
“Cuba bayangkan di kasut anda ada gambar ibu bapa atau datuk nenek sendiri dan bagaimana anda hendak rasa selesa dengan cara ‘hormat’ dan ‘kasih sayang’ kepada mereka seperti itu,” tulis Ramesh.
“Amazon tidak tahu malu, dulu bendera India dan sekarang wajah Mahatma Gandhi, nampaknya Jeff Bezos sudah hilang akal,” tulis seorang pengguna lain.
Bezos ialah pengasas Amazon.
Selipar itu dijual pada harga AS$16.99 dan berdasarkan kepada perincian di laman web Amazon, “selipar Mahatma” itu dicetak secara profesional dan produk itu “akan membuat anda nampak hebat serta buat seseorang tersenyum”.
Amazon tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen setakat ini, lapor Al Jazeera.
Amazon berjaya menembusi India, malah merancang untuk melabur AS$5 bilion di negara itu sejak memasuki pasaran e-perdagangan yang berkembang pesat pada 2013.