Mikrocip dalam nombor plat banteras curi, klon kereta

Mikrocip dalam nombor plat banteras curi, klon kereta

Kementerian berkata langkah itu juga akan menghentikan penggunaan plat nombor tidak mengikut spesifikasi dan membantu mengesan pengguna yang tidak membayar saman.

carplate-microchip
PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mengambil keputusan untuk memasang mikrocip dalam plat pendaftaran kenderaan dalam usaha membanteras sindiket curi kereta dan pengklonan kereta.

Langkah itu juga akan memudahkan pihak berkuasa mengesan pemandu yang belum menyelesaikan saman trafik, disamping menghentikan penggunaan plat pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan undang-undang.

Dalam artikel International Business Times, yang memetik Sunday Mail, sumber kerajaan memberitahu langkah penggunaan mikrocip itu akan memberi “kesan berganda”.

“Ia akan menghentikan plat nombor mewah yang dihasilkan oleh peniaga aksesori dengan tidak mengambil kira garis panduan dan spesifikasi,” menurut sumber itu.

Menurut laporan Sunday Mail, mikrocip itu mengandungi maklumat pemilik kenderaan, pemandu, enjin kenderaan, nombor casis, warna dan model kereta.

“Plat seperti ini tidak boleh dihasilkan oleh peniaga biasa seperti kami kerana ia memerlukan peralatan jitu,” kata seorang peniaga aksesori.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk V Valluvan Veloo, yakin penggunaan mikrocip akan menghentikan penggunaan plat pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.

“Kita mahu hentikan plat tan mengikut piawaian, yang boleh digunakan dalam kegiatan jenayah, seperti ragut,” katanya, menurut laporan itu.

Plat nombor mewah menjadi ikutan walaupun ia melanggar undang-undang. Antara 2013 hingga 2016, sejumlah 184,664 pengguna jalan raya disaman kerana menggunakannya.

Daripada jumlah itu, 24,623 pesalah dari Selangor, diikuti Pulau Pinang (25,093) dan Kuala Lumpur (15,458).

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.