
Ini berikutan keputusan panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum memberikan Affin Bank Berhad kebenaran merayu terhadap 1 keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 30 September, tahun lepas, Mahkamah Rayuan dalam membenarkan rayuan dikemukakan oleh Jamaludin Jaafar, memutuskan bahawa Affin Bank adalah pihak bukan Melayu kerana namanya tidak wujud dalam Jadual Kedua Enakmen Rizab Melayu Kedah No. 63.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Rahman Sebli juga berpendapat ketika ini terdapat hanya 2 bank yang disenarai dalam Jadual Kedua, iaitu Bank Bumiputra Malaysia Bhd dan Bank Pertanian Malaysia Bhd.
Beliau berkata oleh kerana tidak disenarai dalam Jadual Kedua itu dan oleh itu bukan Melayu, Affin Bank dilarang menerusi Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu Kedah daripada memegang sebarang hak atau kepentingan, termasuk sebagai pemegang cagaran, di tanah rizab Melayu yang dicagarkan kepadanya oleh Jamaludin.
Bagimanapun, Bank Bumiputra Malaysia Bhd bergabung dengan Commerce-Asset Holdings yang dikenali sebagai CIMB Berhad sementara Bank Pertanian dikenali sebagai Agrobank, yang menyediakan pinjaman untuk aktiviti pertanian.
Jamaludin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 2011 yang membenarkan Affin Bank mendapat penghakiman ingkar terhadap beliau, dengan beliau diperintah membayar bank sejumlah RM998,527.86.
Ini timbul selepas bank itu memberikan kemudahan pinjaman kepada seorang individu yang merupakan seorang ahli perniagaan dan kerana itu, Jamaludin mencagarkan tanahnya di Kota Setar, Kedah kepada bank itu.
Kegagalan membayar balik pinjaman menyebabkan bank memfail saman terhadap ahli perniagaan itu dan Jamaludin.
Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan bank bagi penghakiman ingkar selepas Jamaludin gagal menghadirkan diri di mahkamah selepas saman diserahkan kepadanya.
Jamaludin memfail permohonan bagi mengetepikan penghakiman ingkar dan ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 2013.
Pada prosiding hari ini, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Affin Bank merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun tidak ada tarikh ditetapkan bagi mendengar rayuan itu.
Hanya satu soalan ditimbulkan, iaitu “sama ada Enakmen Rizab Melayu Kedah No. 63, melarang sesuatu tanah rizab Melayu milik seorang Melayu daripada dicagar kepada mana-mana pihak yang tidak dikategori sebagai Melayu di bawah enakmen itu”.
Terdahulu, panel itu yang termasuk hakim-hakim Mahkamah Perseku tuan Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Zainun Ali membenarkan Persatuan Bank-bank di Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia sebagai pencelah dalam rayuan itu.
Bank Negara Malaysia dan kerajaan Kedah adalah pihak pemerhati.
Peguam Kenny Chan mewakili Affin Bank sementara Khor Gaik Thiam dan P Latsmanan mewakili Jamaludin.