Pemimpin IS dari Malaysia terbunuh di Syria

Pemimpin IS dari Malaysia terbunuh di Syria

Zainuri Kamaruddin terkenal selepas sebuah video propaganda IS akan menyerang Malaysia menjadi viral tahun lalu.

ayob
PETALING JAYA:
Tiga militan Malaysia terbunuh dalam satu serangan udara dilancarkan tentera Syria, Jumaat lalu, kata ketua penolong pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika mengesahkan perkara itu kepada FMT berkata, maklumat risikan yang beliau terima menyatakan 3 rakyat Malaysia itu maut di Raqqah, Syria.

Antara yang terbunuh ialah Zainuri Kamaruddin, 50, lebih dikenali sebagai Abu Talhah. Dia merupakan bekas ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang terkenal dengan beberapa cubaan bunuh dan rompakan bank bersenjata.

Dia juga terkenal selepas satu rakaman video propaganda mengugut IS akan menyerang Malaysia menjadi viral, Mei tahun lalu.

Menerusi video itu, Zainuri yang berasal dari Perak mengisytiharkan dirinya dan konconya sebahagian daripada “pejuang mujahidin” dan kepulauan Melayu akan dipenuhi tentera IS yang membawa perjuangan itu ke rantau ini, khasnya Malaysia dan Indonesia.

Zainuri meninggalkan Malaysia pada April 2014 untuk menyertai IS di Syria dan terselamat daripada serangan hendap tentera Syria pada Ogos tahun sama dengan kecederaan di leher dan paha.

Dia mengetuai sayap IS yang bertutur dalam bahasa Melayu, Katibah Nusantara dan terlibat dalam aktiviti rekrut melalui Facebook.

Mingguan Malaysia hari ini memetik keluarga Zainuri sebagai berkata, mereka dimaklumkan mengenai kematiannya kira-kira jam 1 pagi semalam oleh seorang rakannya di Syria.

Ahli keluarga itu memberitahu akhbar berkenaan yang kali terakhir Zainuri menghubungi mereka kira-kira seminggu lalu.

“Dia beritahu kami, sudah tiba masanya untuk dia pergi.”

Menurut Ayob, turut terbunuh dalam serangan udara itu adalah Ahmad Asyraf Arbee Ahmad Jamal Arbee, 31, dan Sazrizal Mohd Sofian Thayalan, 27.

“Ketiga-tiga mereka antara 30 militan IS Malaysia yang terbunuh di Syria. Mereka juga antara 95 anggota IS yang dikenal pasti berasal dari Malaysia.”

Menurut laporan, Ahmad Asyraf yang berasal dari Kuala Lumpur, berlepas ke Syria untuk menyertai IS pada 2014, manakala Sazrizal pula berpindah ke Syria bersama isterinya tanpa pengetahuan keluarga.

Pasangan suami isteri itu bekerja di sebuah ladang di Australia sebelum berlepas ke Syria.

IS isytihar perang terhadap Malaysia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.