
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman, ACP Ong Chin Lan berkata, polis sudah menemui 320 orang dewasa dan 101 kanak-kanak di 2 komuniti terjejas akibat Huckle.
“Kami mengenal pasti beberapa mangsa. Kami juga cuba mengenal pasti masyarakat terjejas. Tetapi, kami hormati tindakan ibu bapa dan penjaga yang tidak tampil ke depan. Mereka tidak mahu membuat laporan polis kerana maruah dan malu.”
Jurugambar bebas dari Ashford di Kent itu menyamar sebagai penganut Kristian warak, dermawan dan guru bahasa Inggeris yang menyasarkan kanak-kanak daripada keluarga miskin di Kuala Lumpur.
Ong berkata, polis bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah menjalankan program memfokuskan kaunseling dan terapi bagi mangsa dan keluarga mereka.
Beliau bagaimanapun tidak memberitahu jumlah mangsa dan keluarga mereka yang menyertai program itu.
“Mereka (masyarakat) masih dalam penafian. Saya percaya ada di kalangan ibu bapa tidak tahu anak mereka didera secara seksual. Mereka minta jangan ganggu anak mereka. Biarkan anak mereka menjalani kehidupan aman.”
NGO tidak berkeuntungan yang cuba membantu mangsa turut menghadapi kesukaran mendapatkan mangsa tampil ke depan.
Pemimpin komuniti berkata, penduduk dalam komuniti terjejas di pusat bandar Kuala Lumpur cuba mengelakkan perbincangan mengenai isu itu.
Menurut penduduk, Huckle bergaul dengan masyarakat dan menyertai perayaan kuil Hindu serta acara sukan anjuran komuniti terjejas selama hampir 2 tahun.
Masyarakat yang tidak dinamakan Reuters bagi melindungi identiti kanak-kanak di sana, dimaklumkan mengenai jenayah Huckle oleh polis Britain dan NGO pada awal 2016.
Pemimpin masyarakat berkata, beberapa mesyuarat dan perbincangan antara penduduk kampung diadakan berhubung kemungkinan Huckle mendera kanak-kanak secara seksual.
Tetapi, sebaik sahaja kes itu didedahkan tahun lalu, penduduk bimbang mereka akan menjadi perhatian media.
“Kami semua takut selama 2 hingga 3 minggu, tetapi sekarang kita tidak bercakap mengenainya,” kata pemimpin masyarakat itu.
Beliau bertegas tiada kanak-kanak dalam komunitinya menjadi mangsa Huckle walaupun media sudah melaporkannya.
Satu-satunya perkara yang mengingatkan Huckle kini ialah bengkel keselamatan yang dijalankan Protect dan Save the Children (PSC), sebuah NGO yang berhubung dengan masyarakat itu sejak awal tahun lalu.
PSC mengadakan bengkel untuk mendidik kanak-kanak mengenai sentuhan baik dan berniat jahat, dengan harapan mangsa Huckle akan tampil bagi mendapatkan khidmat kaunseling.
Hanya kira-kira 20 daripada 70 kanak-kanak dalam masyarakat India itu menghadiri bengkel berkenaan.
Huckle yang ditahan di London pada 2014, dijatuhkan 22 hukuman penjara seumur hidup pada Jun tahun lalu, selepas mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia dan Kemboja.
Hakim Mahkamah Old Bailey, Peter Rook menjatuhi hukuman itu terhadap lelaki berusia 30 tahun itu yang mengaku mendera semua mangsa berusia 6 bulan hingga 12 tahun, antara 2006 hingga 2014.
NGO: Penjenayah seksual kanak-kanak di Malaysia mudah terlepas hukuman
Pencabul 200 kanak-kanak Malaysia ke tirai besi seumur hidup