
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan meneliti syor laporan itu sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan berhubung insiden berkenaan.
“Saya akan bentangkan dalam MMKN dan kita akan teliti apakah syor yang dikemukakan (dalam laporan itu) sebelum kita maklum kepada MPK apa tindakan sewajarnya yang perlu mereka ambil,” katanya selepas menyertai acara berbasikal “Pulau Indah 180KM Malaysia 2017” di Central Spectrum Sdn Bhd, hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.05 pagi 1 Januari lalu di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, seramai 14 individu termasuk 4 kanak-kanak cedera, selepas bunga api yang dipasang meletup dan mencederakan penonton yang menyaksikan pertunjukan itu.
Pertunjukan bunga api itu diadakan sempena Fiesta Gegar Klang 2016 anjuran MPK yang berlangsung dari 30 Disember sehingga 1 Januari lalu di kompleks berkenaan.
Dalam pada itu, Azmin berkata, seorang pegawai MPK yang terlibat dalam insiden itu sudah diarah bercuti sebulan mulai 3 Januari lalu, sementara menunggu keputusan laporan siasatan penuh polis.
“MPK juga buat kenyataan awal jabatan dan pihak majlis tidak terlibat dalam insiden ini dan saya pasti siasatan dibuat bukan menjurus kepada individu sahaja, tetapi secara menyeluruh,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Alzafny Ahmad mengesahkan pihaknya menyerahkan kertas siasatan berhubung kes letupan bunga api itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, selepas siasatan mendapati pertunjukan bunga api itu dilakukan tanpa permit.
Dalam perkembangan lain, Azmin berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula cadangan projek pembinaan tanah perkuburan bukan Islam di Kampung Bukit Cerakah, Kuala Selangor, berikutan bantahan penduduk 5 kampung di daerah itu.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) turun padang bertemu penduduk bagi menyelesaikan segera isu berkenaan.
Rabu lalu, kira-kira 300 penduduk dari 5 kampung di Kuala Selangor membuat bantahan terhadap cadangan projek pembinaan tanah perkuburan itu, berikutan lokasi yang disifatkan tidak sesuai, selain berhampiran kediaman penduduk.
Lima kampung yang membantah projek itu ialah Kampung Felda Bukit Cerakah, Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kerayong dan Bandar Puncak Alam.
Penduduk pertikai pembinaan kubur Cina di tengah 5 kampung Melayu