
The Star Online melaporkan janji itu diberikan susulan penyumberan luar perkhidmatan menunda kenderaan, menukar bateri dan pembaikan kecil di tempat kejadian.
“Apabila kami kembali kepada perkhidmatan sepenuhnya, tempoh menunggu hanya sekitar 40 minit.
“Jika panggilan tidak dijawab segera, mungkin ia adalah masa puncak,” kata Pengerusi AAM, Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha kepada portal itu.
AAM dikatakan hanya memberi perkhidmatan kepada pengguna jalan raya dengan kapasiti 70% disebabkan krisis dalaman.
AAM yang bakal meraikan ulang tahun ke-85 tahun ini, menanggung hutang sebanyak RM4.5 juta sehingga timbul spekulasi ibu pejabatnya di Shah Alam akan dijual untuk melangsaikan hutang itu.
Walaupun mempunyai pembeli berpotensi, namun penjualan bangunan itu dibatalkan selepas ahlinya membantah langkah itu dalam Mesyuarat Agung Khas pada 3 Oktober lalu.
Tunku Mudzaffar berkata, AAM sedang berusaha menyelesaikan masalahnya, termasuk isu tunggakan gaji pekerja sejak tahun lalu yang akan diselesaikan dalam masa 2 hingga 3 bulan lagi.
Dalam perkembangan lain, AAM dalam satu kenyataan semalam memaklumkan memorandum persefahaman yang dimeterai dengan Stoper Industri Holdings Sdn Bhd pada 1 November lalu hanya untuk percubaan 2 bulan.
Kontrak itu tamat awal tahun ini kerana tidak mematuhi peraturan persatuan itu.
AAM berkata, usaha sama yang dirancang itu tidak ditandatangani, lapor The Star.
“Ia tidak bertujuan untuk pengambilalihan, tetapi sinergi antara 2 entiti untuk menangani pasaran mencabar. Perlembagaan AAM tidak mempunyai peruntukan untuk pengambilalihan,” katanya.
Ahli, pekerja AAM setuju bangunan dijual RM7.5 juta dengan bersyarat