
Cadangan itu dibuat berikutan laporan mengenai penangkapan pengawal keselamatan dengan kad pengenalan palsu.
“Mesin biometrik akan dapat mengesan jika kad pengenalan (IC) palsu atau tulen,” kata Presiden Stadam, Khirudin Tajudin kepada FMT.
“Terdapat juga paparan untuk melihat jika gambar dipaparkan berlainan daripada foto pada kad.”
Selasa lalu, Jabatan Pendaftaran Negara menahan 2 PATI dengan kad pengenalan palsu di bawah “Op ID” itu.
Satu laporan berita berkata kedua-duanya adalah rakyat Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mereka ditahan di kuarters kerajaan di Jalan Duta.
Khirudin berkata adalah menjadi tanggungjawab syarikat keselamatan memastikan kakitangan mereka mempunyai dokumen yang sah dan bukan PATI.
“Anggota keselamatan perlulah terdiri daripada rakyat Malaysia atau mempunyai dokumen yang sah,” katanya.
“Syarikat keselamatan tidak sepatutnya mengupah pendatang tanpa izin hanya kerana ia lebih murah dan kerana mahu mengelak daripada membayar gaji minimum.
“Mesti ada proses tapisan yang ketat.”
Khirudin juga menggesa pelanggan memastikan mereka mengupah pengawal hanya daripada syarikat keselamatan yang sah.
“Pelanggan perlu mengamalkan tindakan wajar apabila melibatkan mengupah anggota keselamatan,” katanya.
“Mereka tidak boleh membuat pilihan berdasarkan harga yang murah.”