‘Elit’ bandar jadi sasaran ajaran Wahabi, kata pegawai agama

‘Elit’ bandar jadi sasaran ajaran Wahabi, kata pegawai agama

Pemikiran agama yang diasaskan di Semenanjung Arab pada lewat 1700an, yang menjadi ikutan agamawan Arab Saudi, semakin menular di kalangan golongan berada, tanpa disedari mereka.

Mahfuz-Mohamad_ceramah_600
RAWANG:
Ajaran Wahabi, nama lain aliran Salafi yang menjadi ikutan rasmi Arab Saudi dan sering dikaitkan dengan rakannya yang lebih militan seperti kumpulan IS, semakin menular di kalangan penduduk bandar.

Menurut Mahfuz Mohamad, ahli Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais), badan yang mempunyai kuasa membenarkan pengajar dan penceramah agama di negeri ini, kawasan yang dianggap “elit” di bandar besar juga semakin menjadi “sarang”menyebarkan fahaman itu.

Mahfuz berkata ia tertumpu kepada golongan kelas pertengahan dan mahasiswa di institut pengajian tinggi, di samping mereka yang dianggap berada di kalangan penguasa.

“Dengan penguasa, mereka dapat kuasa menyebarkan pemikiran lebih meluas.

“Dengan adanya orang kaya, ia akan menjana duit untuk mereka sebarkan fahaman dan mahasiswa di pusat pengajian tinggi akan menjadi pelapis mereka,” Mahfuz memberitahu FMT.

Ajaran Wahabi merupakan panggilan lain untuk Salafi, yang menurut pengikutnya adalah berdasarkan Islam yang syumul dan berpandukan golongan salaf, atau pewaris nabi generasi pertama.

Pemikiran agama yang diasaskan Muhammad Abdul Wahhab, tokoh yang memperjuangkan pembaharuan Islam pada lewat 1700 an di Semenanjung Arab, kini menjadi ikutan agamawan Arab Saudi.

Mahfuz berkata, penyebaran Wahabi tidak banyak tertumpu kepada masyarakat desa kerana pengikutnya beranggapan ia tidak memberi manfaat jangka masa panjang.

Pada Mac 2015, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan aliran Wahabi tidak sesuai diamalkan di negara ini.

Manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang diketuai Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad pula mengharamkan aliran ini kerana didakwa bertentangan dengan aliran Sunnah.

Kasar dan tak minat dialog

Menurut Mahfuz, yang juga pengetua sebuah pusat pengajian Al-Quran, kesemua pengikut militan IS memperoleh ilmu pengetahuan “songsang” setelah mendalami aliran Wahabi hinggakan berani bertindak “kasar dan keras”.

“Lazimnya, mereka yang cenderung kepada IS diisi dengan fahaman Wahabi. Kalau tiada fahaman, agak sulit untuk mereka terjebak dengan IS.”

Tambahnya, penyokong IS tidak berminat dengan dialog, tetapi menyerlahkan pendirian mereka melalui kekasaran.

Malah, katanya, sifat “kasar” dalam diri pengikut aliran Wahabi bertolak daripada salah satu pegangannya yang menolak ilmu seperti tasawuf, yang bagi mereka terkeluar daripada Islam.

“Wahabi menidakkan ilmu tasawuf dan menganggap ia menjijikkan. Apabila seseorang itu tidak mempraktikkan ilmu akhlak, sikapnya keras dan kasar

“Di masjid dan surau jika ada pengikut Wahabi, penceramah akan hadapi masalah, mereka akan menyerang penceramah dengan bahasa yang menyinggung perasaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz menjelaskan sukar untuk mengenal pasti pengikut aliran Wahabi kerana tidak mengakui secara terang-terangan tindakan mereka.

“Orang Wahabi sendiri tidak sedar mereka ini Wahabi kerana penyebar sendiri tidak mengaku sebagai Wahabi sebaliknya mengaku mereka ini ahli Sunnah wal Jamaah.

“Malah ramai masyarakat yang cetek dengan ajaran ahli Sunnah terpengaruh dengan aliran Wahabi kerana percaya ia ajaran Sunnah yang hakiki.

“Mereka kata, berpegang pada Al-Quran dan Sunnah, tetapi hakikatnya mereka bawa ajaran yang bertentangan dengan Sunnah Nabi, sebaliknya Sunnah Wahabi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.