
Timbalan perdana menteri berkata, banyak yang boleh dipelajari Malaysia daripada China, terutama di wilayah Yunnan yang mengawasi sempadan dengan negara jirannya Laos, Myanmar dan Vietnam sepanjang kira-kira 4,060km.
Beliau berkata, Malaysia akan menghantar sekumpulan 10 pegawai dari pelbagai agensi, seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), imigresen, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, polis dan tentera ke China dalam tempoh 2 bulan lagi untuk mendalami prosedur operasi standard kawalan sempadan China.
Pasukan itu akan diketuai Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Jen (B) Zulkifeli Mohamad Zin, katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Yunnan, Guo Bao di sebuah hotel pada Sabtu, hari ke-5 lawatan kerja beliau ke China.
“Perbincangan dengan pihak berkuasa di wilayah Yunnan hari ini meliputi perincian dan bersifat operasi dalam 3 isu utama yang perlu ‘diperoleh’ pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan Malaysia, iaitu soal kawalan keselamatan, kemasukan dadah dari negara segi tiga emas dan isu keganasan,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga perkara itu akan dipelajari sepenuhnya kerana Malaysia dan Yunnan menghadapi isu sama.
Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, kementeriannya mengemukakan 7 cadangan baharu kepada MKN untuk dibincangkan dan dilaksanakan dalam memperkasa kawalan sempadan, termasuk pakej kewangan.
Beliau berkata, perbincangan mengenainya akan diperincikan lagi selepas kumpulan pegawai berkenaan kembali daripada latihan di China.
“Pada hemat saya, perkara yang berkaitan sempadan ini bukan hanya mengenai kawalan tembok secara fizikal sahaja, tapi mesti mempunyai 1 sistem integrasi khusus, termasuk teknologi terbaharu dan beberapa pendekatan saintifik yang dicadangkan pihak Yunnan,” katanya.
Beliau memberi contoh sistem kawalan negara di sempadan Thailand ketika ini yang lebih berupa pagar berduri atau tembok semata-mata, berbanding China yang menggunakan teknologi dron, satelit dan kamera litar tertutup berdefinisi tinggi.
“…kita tidak ada semua ini (teknologi canggih China), mungkin perbelanjaan terlalu mahal.
“Dengan adanya perbincangan sebegini dengan China, mungkin kita boleh berbincang soal pemindahan teknologi, mungkin boleh buat secara BLMT (bina, pajak, urus dan pindah) dengan beberapa agensi di China dengan kolaborasi agensi di Malaysia, nanti kosnya mungkin boleh dikurangkan,” katanya.