Siswa UM terbabit demo 1MDB berdepan tindakan tatatertib

Siswa UM terbabit demo 1MDB berdepan tindakan tatatertib

Mereka yang berdepan tindakan tatatertib mengangkat plakard "Mahasiswa mahukan jawapan" di satu majlis penerangan 1MDB Oktober lalu

1MDB-town-hall-meeting
PETALING JAYA: Sekumpulan siswa Universiti Malaya (UM) yang mengangkat plakad di satu majlis penerangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Oktober lalu berdepan tindakan tatatertib, kata persatuan pelajar.

Presiden Persatuan Untuk Belia Baru UM (Umany) Kon Hua En berkata 4 siswa menerima notis prosiding berkenaan tunjuk perasaan itu. Prosiding akan diadakan pada 18 Januari.

Empat siswa terbabit: Bekas presiden Umany Ho Chi Yang, timbalan presiden Umany Tan Jia You, ketua biro publisiti Umany Chua Hun Ti dan setiausaha agung Umany Lau Li Yang.

Dalam kejadian itu, siswa terbabit mengangkat plakad “1MDB we want answers” (1MDB kami mahukan jawapan), “Mahasiswa mahukan jawapan”, “1MDB jangan spin (putar belit), dan “1MDB pulangkan duit rakyat”, tetapi beberapa orang kemudian merampas plakad lalu mengoyakkannya. Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda menyertai majlis penerangan itu.

Hua En berkata 4 siswa terbabit dituduh menimbulkan keadaan tidak berdisiplin dan kekacauan.

“Pihak universiti juga menuduh mahasiswa memudaratkan ketenteraman awam, kesopanan serta tatatertib dan menghasut atau menyertai pemulauan kegiatan rasmi universiti,” katanya, merujuk kepada kandungan notis yang diterima empat siswa terbabit.

Hua En mempertahankan tindakan siswa terbabit, kerana tunjuk perasaan itu merupakan satu cara untuk “mendapatkan kebenaran” daripada Arul dan membantah “niat jelas” untuk “membersihkan” imej 1MDB.

Majlis penerangan tertutup itu yang diadakan Oktober lepas bertajuk “1MDB & isu semasa negara”.

Ia dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM.

Hua En melabel majlis penerangan itu sebagai usaha untuk “mencuci otak” siswa berkenaan isu 1MDB, kerana tidak mengemukakan pandangan yang seimbang, apabila pengkritik 1MDB seperti Ahli Parlimen Tony Pua dan Rafizi Ramli tidak dijemput.

Pelajar UM bidas sesi ‘cuci otak’ 1MDB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.