Kerajaan tidak cari untung menerusi sijil halal, kata HDC

Kerajaan tidak cari untung menerusi sijil halal, kata HDC

Proses memberikan status halal merupakan khidmat kerajaan, kata syarikat penyelaras pembangunan industri halal tempatan.

Jamil-Bidin_talk
PETALING JAYA:
Badan utama yang menyelaraskan industri halal di Malaysia berkata proses mendapatkan status halal di negara ini bukan bertujuan menjana keuntungan tetapi sebagai khidmat kerajaan.

Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata kutipan tahunan yuran dan kos pensijilan halal sebenarnya lebih sedikit berbanding kos pengurusan.

“Ramai yang ada persepsi salah, pensijilan bukanlah kegiatan mendatangkan hasil atau pun keuntungan yang dapat menjana ekonomi negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin.

“Di Malaysia, kita melakukannya kerana ingin memberikan khidmat kepada pemain industri.

“Begitu juga dengan negara lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Australia di mana pensijilan dikendalikan oleh NGO. Di Indonesia misalnya, caj yang dikenakan bagi setiap sijil adalah kira-kira RM1,338,” katanya selepas sesi taklimat bersama media di HDC Global Halal Support Centre hari ini.

Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal di negara ini mengenakan caj berbeza mengikut kategori, misalnya RM200 bagi setiap 2 tahun untuk kategori industri.

Jamil berkata proses pensijilan halal perlu menjadi lebih cekap agar dapat membantu industri bergerak ke hadapan.

“Kita perlu memahami permintaan dan keperluan industri agar dapat menjadikan prosesnya lebih efisien. Pada masa sama, syarat yang ketat untuk melindungi pengguna,” katanya lagi.

HDC berkata industri halal menyumbang 7.5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2015, dan disasarkan meningkat kepada 8.7% pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.