
Ketika dihubungi FMT selepas berita pemergian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem diterima Kuala Lumpur, menteri sumber asli dan alam sekitar itu berasa sebak.
“Kami saling mengenali. Apabila dia melihat saya, dia kata ‘tak lupa pandang all the time’ (selalu perhatikan kamu),” kata Wan Junaidi.
“Kami saling menasihati agar bersabar menghadapi turun naik kerjaya politik masing-masing.”
“Saya beritahu dia ‘begitulah resam dunia, dan saya sanggup tanggung susah senang bersamanya.”
Adenan dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kuching, pada 1.20 tengah hari tadi. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 5 orang anak.
Berasal daripada parti yang sama, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu, Wan Junaidi menyertai politik selepas terpilih menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar pada 1990.
Ketika itu, Adenan merupakan Adun Muara Tuang.
Menurut Wan Junaidi, Adenan merupakan seorang individu yang suka membaca khususnya sejarah negeri Sarawak.
“Beliau mendalami sejarah politik Sarawak. Lihat pendekatan semasa pentadbirannya mirip kepada persoalan penubuhan sebelum dan selepas penubuhan Malaysia, perjanjian dan perlembagaan. Sebagai seorang peguam, dia mendalami perlembagaan,” katanya.
Hubungan antara mereka melangkaui politik. Isteri Wan Junaidi, Feona Sim Abdullah sebenarnya mempunyai kaitan persaudaraan dengan Adenan.
“Kalau tak salah saya nenek dia adik beradik dengan nenek isteri saya. Bagi saya, kami bersahabat dahulu dan baru kemudian mempunyai pertalian keluarga.
“Jadi bila dia dah jadi kawan, dah ada pertalian, sama pandangan, saya rasa kehilangan seorang yang amat saya hormati dan saya sayangi.
“Daripada sudut negeri Sarawak, kita kehilangan pemimpin yang amat disukai rakyat Sarawak,” katanya.