
Walaupun tiada pengumuman rasmi dilakukan pihak berkuasa di negara Afrika Utara itu, ada laporan mendakwa perintah Kementerian Dalam Negeri itu akan berkuat kuasa minggu ini.
“Kami sudah mengambil langkah mengharamkan sepenuhnya pengimportan, pembuatan dan pemasaran pakaian ini dalam semua bandar dalam negara ini,” kata seorang pegawai berpangkat tinggi di Kementerian Dalam Negeri yang dipetik laman berita Le360.
Menurut laporan berkenaan, langkah itu didorong faktor keselamatan “kerana penyamun berulang kali menggunakan pakaian ini untuk melakukan jenayah”.
Kebanyakan wanita di Maghribi lebih suka memakai hijab yang tidak menutup muka.
Wanita Salafi dan wanita yang tinggal di kawasan lebih konservatif di bahagian utara turut memakai purdah.
Di beberapa kawasan komersial di Casablanca, bandar terbesar di negara itu, pegawai Kementerian Dalam Negeri pada Isnin menjalankan “kempen meningkatkan kesedaran dengan peniaga bagi memaklumkan keputusan baharu ini,” lapor laman web Media 24.
Di Taroudant yang terletak di selatan Morocco, pihak berkuasa mengarahkan peniaga berhenti mengeluarkan dan menjual purdah, selain menghapuskan stok mereka dalam tempoh 48 jam.
Peniaga di bandar utara Ouislane dikatakan turut mendapat arahan sama.
Tidak jelas jika Maghribi bercadang mengikut jejak sesetengah negara Eropah seperti Perancis dan Belgium untuk mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam.
Laporan itu mendapat reaksi dingin tanpa pengesahan rasmi, walaupun golongan Salafi menyuarakan kebimbangan langkah itu boleh diperluaskan untuk meliputi niqab atau purdah yang mendedahkan kawasan sekitar mata.
“Adakah Maghribi bergerak ke arah pengharaman niqab yang dipakai wanita Islam selama 5 abad?” soal pendakwah, Hassan Kettani melalui catatannya di Facebook.
“Jika benar ia akan menjadi bencana,” katanya.
Diskriminasi
Hammad Kabbaj, pendakwah yang dilarang bertanding dalam pilihan raya Parlimen pada Oktober lalu selepas didakwa ada kaitan dengan “fahaman pelampau” mengecam larangan itu dan menyifatkannya “tidak boleh diterima”.
Dalam komen di Facebook, beliau mengejek “kebebasan Maghribi dan hak asasi manusia” yang “menganggap pemakaian baju renang Barat di pantai sebagai hak tidak disentuh”.
Penyelaras yang mempertahankan banduan Islam, Oussama Boutaher berkata, larangan purdah adalah satu bentuk “diskriminasi”.
“Ini menunjukkan kita dianggap rakyat kelas ke-2. Ia menyekat kebebasan individu walaupun Maghribi menandatangani beberapa protokol antarabangsa mengenai hak asasi manusia,” katanya kepada AFP.
“Contoh kita bukannya Afghanistan, tetapi rasul dan pengikutnya,” kata Boutaher yang menolak tindakan melarang penjualan purdah mampu meningkatkan tahap keselamatan.
Bagaimanapun, bekas menteri pembangunan keluarga dan sosial, Nouzha Skalli, menyambut baik larangan itu sebagai “langkah penting memerangi ekstremisme agama”.
Majlis Tinggi Ulama yang merupakan pihak berkuasa agama tertinggi di Maghribi belum mengulas isu pengharaman purdah itu.