Tak perlu curiga, himpunan Akta 355 macam sambut Maulud Nabi saja

Tak perlu curiga, himpunan Akta 355 macam sambut Maulud Nabi saja

Pesuruhjaya PAS Selangor berkata kedua-duanya bertujuan menunjukkan rasa cinta umat Islam kepada agama.

ruu355-iskandar
PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata Himpunan RUU 355 tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia hanya acara bagi umat Islam menunjukkan rasa cinta kepada agama.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata ia seperti perarakan Maulidur Rasul yang diadakan di Dataran Merdeka setiap tahun.

“Jika ketika sambutan Maulidur Rasul umat Islam turun untuk menyatakan rasa kasih kepada Rasulullah, himpunan ini untuk menyatakan sokongan terhadap memperkasakan mahkamah syariah.

“Kedua-duanya himpunan untuk umat Islam menyatakan komitmen dan kasih terhadap agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajar membenarkan PAS mengadakan himpunan itu di Dataran Merdeka.

Pada 7 Januari lalu, PAS mengumumkan penganjuran Himpunan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang akan diadakan 18 Februari ini di Dataran Merdeka, satu lokasi bersejarah serta tempat pelbagai sambutan peringkat kebangsaan.

Sebuah portal berita kemudian melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata PAS tidak akan dibenarkan meneruskan rancangannya itu, sebaliknya mencadangkan Stadium Titiwangsa sebagai alternatif.

Beliau berkata himpunan itu tidak sepatutnya menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat bukan Islam kerana pindaan tersebut tidak melibatkan mereka.

Selepas pengumuman itu, beberapa parti politik menyuarakan bantahan, antaranya Gerakan dan MCA yang menyifatkan himpunan itu berisiko mencetuskan ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam.
Himpunan itu diadakan dengan kerjasama kira-kira 200 NGO dan menyasarkan kehadiran 300,000 peserta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.