
Menulis dalam akhbar Amerika Syarikat, The Huffington Post (HP) semalam, Aydogan Vatandas berkata pegawai perisikan Turki menculik 3 rakyat Turki di Malaysia 3 bulan lalu kerana didakwa terlibat dalam pergerakan Gulen, kumpulan yang dituduh Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai mendalangi percubaan rampasan kuasa tentera yang gagal pada Julai tahun lalu.
Mereka yang diculik itu kemudian dibawa pulang ke Turki.
“Walaupun pihak berkuasa Malaysia enggan mengulas, adalah jelas kedaulatan negara Asia itu dilanggari,” katanya.
Aydogan menjelaskan, kerajaan Turki sebelum ini meminta Malaysia menutup sekolah yang mempunyai hubungan dengan Fethullah Gulen, bekas imam dan penulis yang mengasaskan pergerakan Gulen yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.
Pada 13 Disember, Ismet Ozcelik, salah seorang pengarah Universiti Mevlana di Turki yang berkunjung ke Malaysia, ditahan polis selepas dituduh menghalang pegawai awam menjalankan tugas.
Ismet Ozcelik dipercayai ditahan di Penjara Sungai Buloh sejak itu, dan pasportnya turut dibatalkan Ankara yang mahu beliau dihantar pulang, menurut anak Ismet, Suat, dipetik Aydogan.
Menurut Suat, bapanya yang menghidap penyakit kencing manis tiba di Malaysia bagi memulakan kehidupan baharu, selepas dipecat daripada jawatannya di Universiti Mevlana.
Sementara itu, ketika dihubungi FMT, Kementerian Dalam Negeri enggan mengulas mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, FMT difahamkan firma guaman Lee Hishammuddin Allen and Gledhill (LHAG) menerusi suratnya bertarikh 4 Januari menulis kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh, Abd Kadir Rais mengadu tentang masalah kesihatan dialami Ismet.
Menurut surat itu, keluarga Ismet ketika melawatnya di penjara mendapati beliau dalam keadaan lemah.
Dalam surat berasingan kepada hakim Mahkamah Majistret Siti Radziah Kamarudin, peguam juga memohon Ismet dibebaskan dengan ikat jamin supaya dapat menerima rawatan.