Arab Saudi senyap selepas kematian Rafsanjani

Arab Saudi senyap selepas kematian Rafsanjani

Bekas presiden Iran itu percaya keadaan boleh kembali 'normal' jika Iran dan negara Arab Teluk bekerjasama.

Ali-Akbar-Hashemi-Rafsanjani
DUBAI:
Empat negara Teluk hari ini menyampaikan takziah kepada Iran susulan kematian bekas presiden Ali Akbar Hashemi Rafsanjani, isyarat penghargaan mereka kepada usaha seorang pragmatis mencari pengenduran ketegangan serantau.

Tiada kenyataan segera dari Riyadh, seteru utama Tehran di Teluk Arab.

Ketua negara Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyampaikan takziah selepas kematian Rafsanjani, 82, semalam, seorang pengasas Republik Islam dan kuasa pragmatik yang berpengaruh dalam politik Iran yang berpuak.

Pengebumian Rafsanjani akan diadakan di Tehran esok. Iran mengumumkan 3 hari berkabung, termasuk 1 cuti umum esok, untuk Rafsanjani, yang merupakan presiden antara 1989 hingga 1997 dan merupakan watak penting dalam revolusi 1979 yang menggulingkan Shah Mohammad Reza Pahlavi.

Persaingan antara Iran dan negara Arab Teluk, terutamanya Arab Saudi, membantu menjana satu dekad keganasan dan kekacauan di seluruh Timur Tengah. Di Syria, Iraq, Lubnan dan Yaman, kedua pihak menyokong proksi mazhab yang bergelut demi pengaruh atau berperang secara terbuka.

Namun, Rafsanjani kerap menyeru hubungan dengan negara Arab Teluk ditingkatkan, mempunyai hubungan yang baik dengan pegawai kanan kerajaan Saudi dan dilihat sebagai watak utama yang boleh menyelesaikan ketegangan antara seteru serantau pada tahun mendatang.

Menteri Luar UAE, Anwar Gargash di Twitter menggambarkan Rafsanjani sebagai “suara kesederhanaan dan realisme politik”.

Menteri Luar Bahrain, Sheikh Khaled Ahmed al-Khalifa, menyampaikan takziah di atas kematian Rafsanjani di Twitter. Bahrain mempunyai hubungan tegang dengan Iran.

Riyadh menuduh Tehran mencetuskan masalah di Bahrain dan Arab Saudi. Tehran menuduh Riyadh merancang kemusnahannya dengan Washington.

Dalam satu wawancara pada Ogos 2015, Rafsanjani memberitahu laman sesawang Al Monitor bahawa Iran memang tidak mempunyai masalah dengan Arab Saudi atau negara Arab lain “kerana mereka negara Islam dan kita lihat kerjasama dengan mereka sebagai keutamaan dalam perlembagaan Iran.”

Beliau dipetik sebagai berkata peristiwa di Syria, Iraq, Yaman dan Bahrain antara isu yang mewujudkan “jarak”, tetapi keadaan boleh kembali normal jika Iran dan kerajaan Arab mengambil keputusan untuk bekerjasama.

“Saya percaya ia boleh dilakukan. Bagaimanapun, penting juga untuk kita melihat ke mana peristiwa itu membawa kita,” katanya menurut laporan itu.

Militan Arab pro-Iran seperti Hezbollah dari Lubnan dan Houthi dari Yaman turut mengucapkan takziah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.