Anwar, peguam dan NST capai penyelesaian di mahkamah

Anwar, peguam dan NST capai penyelesaian di mahkamah

Peguam memohon maaf terhadap Anwar Ibrahim dan isteri mendiang Karpal Singh; NST terbit permohonan maaf

anwar1
GEORGE TOWN:
Satu perintah penghakiman persetujuan berdasarkan terma yang dipersetujui dicapai dalam saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap peguam Ranjit Singh, akhbar New Straits Times (NST) dan 2 wartawan akhbar tersebut.

Di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, Ranjit memohon maaf kepada Anwar dan isteri mendiang Karpal Singh, Gurmit Kaur, di hadapaan Hakim Datuk Rosilah Yop.

“Saya, Ranjit Singh Mahinder Singh, dengan ini tanpa ragu-ragu dan tanpa syarat memohon maaf atas kenyataan saya yang diterbitkan oleh NST pada 6 Ogos 2013 di halaman 10, bertajuk ‘Prove you have nothing to hide’.

“Saya juga memohon maaf kerana memohon Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendiang Karpal Singh mengisytiharkan harta mereka kepada orang ramai untuk membuktikan ianya bersih demi menolak dakwaan tidak terbukti dan tidak berasas terhadap mereka berhubung dengan integriti badan kehakiman dan rasuah.

“Saya difahamkan bahawa kenyataan saya mempunyai sindiran negatif oleh itu saya dengan ini memohon maaf kepada Anwar dan mendiang Karpal Singh dan keluarga masing-masing.”

Sementara itu NST, penulis pakarnya Adrian Lai, dan bekas wartawan NST, Looi Sue-Chern bersetuju untuk menyiarkan kenyataan mengakui laporan mereka tidak berasas dalam edisi cetak esok atau Rabu, seperti berikut:

“Kami dengan ini merujuk kepada laporan berita kami bertarikh 6 Ogos 2013 di halaman 10, bertajuk ‘Prove you have nothing to hide’ yang mempunyai komen oleh Ranjit Singh Mahinder Singh.

“Penerbitan artikel tersebut berserta tajuk utama adalah berdasarkan komen yang dibuat oleh Ranjit.

“Kami mengakui penyiaran artikel itu adalah termasuk tetapi tidak terhad kepada tajuk utama, adalah tidak berasas, berdasarkan kepada permohonan maaf Ranjit.”

NST, Adrian dan Sue-Chern juga bersetuju untuk membayar RM60,000 sebagai bayaran kos kepada Anwar.

Penghakiman persetujuan itu dicapai selepas perbincangan selama 6 jam oleh peguam bagi semua pihak yang terlibat.

Sementara itu, peguam Anwar, Ramkarpal Singh Deo memuji Rosilah kerana membenarkan Gurmit Kaur untuk hadir di mahkamah dan mendengar permohonan maaf Ranjit kepada Karpal.

“Penghargaan ikhlas kami kepada hakim, yang membuat satu langkah yang julung kalinya bagi membolehkan Gurmit untuk mewakili mendiang Karpal.”

Kes 24 Ogos 2016 itu menyaksikan Anwar menyaman Ranjit, yang juga bekas pengerusi jawatankuasa undang-undang jenayah Badan Peguam Pulau Pinang, NST, Adrian serta Sue-Chern.

Saman itu difailkan oleh Anwar berhubung artikel berita bertajuk “Declare your assets, if you have nothing to hide”, yang diterbitkan pada 6 Ogos 2013, dalam edisi cetak NST.

Anwar menuntut ganti rugi yang dianggap wajar oleh mahkamah berserta permohonan maaf semua defendan yang seterusnya diterbitkan dalam NST.

Ranjit dalam kenyataan pembelaannya, berkata kenyataan beliau tidak bersifat memfitnah dan merupakan “komen yang adil berhubung perkara berkepentingan awam.”

Dalam kenyataan tuntutan bersama, NST, Adrian dan Sue-Chern berkata laporan itu berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Ranjit dan ahli politik Zamil Ibrahim. NST berkata ia mempunyai tanggungjawab moral untuk menerbitkan cerita yang berkepentingan awam.

Anwar diwakili Sangeet Kaur deo, Ramkarpal Singh Deo, and S Raveentharan manakala Ranjit diwakili Baljit Singh.

NST, Adrian and Sue-Chern diwakili Reza Hassan, Ellia Zuraini Mat Zin dan Umi Farhanah Mohd Nasir dari Raja Riza &Associates.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.