Unik, sepakan Faiz tepati hukum fizik, kata pakar

Unik, sepakan Faiz tepati hukum fizik, kata pakar

Dr Mohd Khairi Zawi “kesan Magnus” terhasil apabila bola sepakan Faiz berputar hingga mewujudkan daya mengikut dan melawan pergerakan bola.

Dr-Mohd-Khairi-Zawi
KUALA LUMPUR:
Keunikan jaringan finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri yang disifatkan “melanggar hukum fizik” oleh banyak pihak adalah tidak benar, kata pakar.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Dr Mohd Khairi Zawi berkata jaringan itu menepati “Hukum Gerakan Ketiga Newton”.

Beliau berkata lencongan bola yang berlaku sehingga menewaskan penjaga gol Pahang Nasril Naurdin itu disebabkan “kesan Magnus” yang terhasil apabila bola sepakan Faiz berputar dan mewujudkan satu daya yang mengikut dan melawan pergerakan bola.

“Faiz hanya menendang bola menggunakan bahagian luar kaki kanannya untuk melencongkan bola itu sehingga menghasilkan satu daya yang dikenali sebagai kesan Magnus.

“Tendangan seperti itu banyak terjadi di negara kuasa besar bola sepak dan memang boleh diterima akal manusia kerana ia menepati hukum fizik, cuma di Malaysia tendangan seperti itu boleh dikatakan pertama kali terjadi,” katanya.

Jaringan menakjubkan Faiz itu turut melakar sejarah bola sepak Asia kerana beliau menjadi pemain Asia pertama yang tersenarai antara 3 finalis terakhir jaringan tercantik Anugerah Puskas 2016.

Pakar sains sukan itu berkata teknik sebenar yang digunakan Faiz ketika mengambil sepakan percuma tersebut ialah “curveball” dan bukan “knuckleball” seperti yang diperkatakan orang ramai.

“Teknik ‘knuckleball’ tidak mengakibatkan pergerakan bola itu melencong, sebaliknya bola akan bergerak secara ‘zigzag’ kerana terkesan daripada kesan gelora yang terhasil daripada daya julangan,” katanya.

Beliau turut mengakui untuk menghasilkan tendangan seperti itu, seorang pemain bola sepak perlu mempunyai kemahiran yang tinggi selain daripada pengetahuan tentang fizik.

“Pemain bola perlu menguasai sepenuhnya teknik kemahiran menendang iaitu melalui latihan yang cukup selain faham serta tahu tentang mekanisme pergerakan bola yang mereka inginkan,” katanya.

Jaringan ajaib itu dilakukan Faiz sewaktu membantu pasukannya, Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-1 ke atas Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.

FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com pada Disember lepas mengumumkan jaringan Faiz tersenarai antara 3 jaringan terbaik dunia untuk Anugerah Puskas 2016.

Video jaringan Faiz yang dimuat naik FIFATV di laman YouTube pada 21 November ditonton lebih 2 juta pelayar dari seluruh dunia setakat minggu lepas.

Jumlah tontonan itu jauh meninggalkan 2 lagi finalis iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (1.4 juta tontonan) dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (1.1 juta tontonan).

Pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.