
Menurut Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,517 orang daripada 849 keluarga yang ditempatkan di 7 pusat pemindahan, manakala Pasir Mas menempatkan 1,679 mangsa daripada 551 keluarga di 5 pusat pemindahan.
Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini di bawah paras bahaya 9m dengan trend penurunan, iaitu 8.77m berbanding 8.87m pagi tadi.
Bacaan paras air Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pula turun kepada 12.48m berbanding 12.53m pagi tadi, namun masih di bawah paras bahaya 16m, manakala paras air sungai utama lain kembali ke paras normal.
Bagaimanapun, situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah setakat 1 tengah hari ini dengan hanya 11 mangsa dibenarkan pulang sejak pagi tadi.
Ketika ini, terdapat 1,449 mangsa daripada 331 keluarga di 5 pusat pemindahan di 3 daerah.
Berdasarkan Infobanjir JKM, jumlah mangsa banjir di Kuala Terengganu berkurangan kepada 1,352 orang daripada 1,361 orang pagi tadi, sementara di Marang merekodkan 19 mangsa berbanding 21 orang pada sebelah pagi.
Jumlah mangsa di Dungun kekal pada 78 orang daripada 20 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau.