Bekas CEO Tekun Nasional didakwa esok kerana rasuah RM36,000

Bekas CEO Tekun Nasional didakwa esok kerana rasuah RM36,000

Menurut sumber, SPRM sedang menyiasat sama ada bekas CEO Tekun Nasional itu dan KSU kementerian yang ditahan Rabu lalu ada hubung kait dalam kes rasuah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

ceo-dakwa
PETALING JAYA:
Seorang bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam esok atas dakwaan meminta suapan sebanyak RM36,000.

Menurut sumber, suspek bergelar Datuk berusia 62 tahun itu yang baru kembali daripada menunaikan umrah semalam, ditahan di kediamannya di Bukit Bandaraya, Shah Alam, pada jam 5.15 petang tadi.

Suspek itu dipercayai menerima wang suapan itu sebagai dorongan mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang sebanyak RM360,009.08 pada 15 Januari 2015.

Sumber itu berkata, suspek pernah ditahan di Kelab Shah Alam, Selangor ketika menerima wang suapan RM36,000 iaitu 10% daripada hasil kutipan “hutang lapuk Tekun Nasional” bagi November 2014, daripada pemilik syarikat pemungut hutang itu pada 15 Januari 2015.

Menurutnya, suspek yang memegang jawatan itu sejak 2008 hingga 2014 melantik syarikat pemungut hutang itu kononnya bagi memungut hutang tidak dilangsaikan peminjam melebihi 2 tahun.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan suspek akan dihadapkan ke mahkamah di Shah Alam.

Difahamkan, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman yang ditahan SPRM, Rabu lalu, atas dakwaan salah guna kuasa serta rasuah juga pernah menjadi ahli Lembaga Tekun Nasional dan SPRM sedang menyiasat sama ada 2 individu terbabit mempunyai hubung kait dalam kes rasuah kementerian itu.

KSU kementerian, 2 anak lelaki direman 7 hari

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.