
“Secara keseluruhan kami berjaya membendung kadar kemalangan.
“Walaupun kita nampak terdapat peningkatan dalam kematian, nisbah 4 hingga 5 kematian bagi 10,000 kenderaan sudah menurun kepada 2.5 kematian bagi jumlah sama kenderaan,” katanya selepas menghadiri sebuah majlis bersama ahli MCA, hari ini.
Liow menjadi menteri pengangkutan sejak Jun 2014.
Ditanya mengenai lebih 7,000 kematian di jalan raya tahun lalu, Liow berkata, terdapat penurunan dari 2014 hingga 2015.
“Ia berlegar sekitar 6,000 kematian sejak 6 tahun lalu. Kami terus menanganinya, tetapi saya tidak puas hati dengan angka kematian itu. Kita perlu bekerja keras mengurangkan kadar kemalangan.”
Liow berkata, jumlah kenderaan yang meningkat kepada 19 juta, turut menyumbang kepada kadar kemalangan di seluruh negara.
“Setiap tahun, terdapat kira-kira 400,000 hingga 500,000 pemandu baharu dan ini juga menyebabkan kadar kemalangan meningkat dan kita perlu membendungnya.”
Mengenai kadar kemalangan tinggi pada musim perayaan, Liow berkata, ia berpunca daripada pergerakan jumlah kenderaan yang banyak pada tempoh itu.
“Dari segi kebarangkalian berlaku lebih banyak kemalangan, itu sebabnya ada banyak kempen keselamatan jalan raya dilancarkan pada musim perayaan untuk mengingatkan orang ramai supaya selamat di jalan raya.”
Beliau berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan di jalan raya seperti meletakkan lebih banyak penghadang dan permukaan jalan lebih baik.
“Kami juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan polis untuk melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas pemandu bas dan lori pada musim perayaan.”
Beliau berkata, kementeriannya akan mengkaji menambah bilangan kamera trafik di kawasan panas seluruh negara untuk menangani isu kemalangan.
Katanya, kamera itu akan ditempatkan di kawasan kritikal mengikut permintaan orang ramai.