
Malam tadi, jumlah mangsa berkurangan iaitu 1,238 orang daripada 316 orang yang ditempatkan di 7 pusat pemindahan.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir jumlah mangsa di Kuala Terengganu meningkat kepada 1,199 orang daripada 286 keluarga berbanding 955 mangsa daripada 235 keluarga malam tadi.
Satu pusat pemindahan juga baru dibuka di daerah terbabit iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak menjadikan jumlah keseluruhan 4 pusat pemindahan masih dibuka di Kuala Terengganu.
Dijangka mangsa banjir di Kuala Terengganu akan terus bertambah kerana proses limpahan air sungai dari hulu yang mengalir ke laut sedang berlaku ketika ini.
Di Dungun, jumlah mangsa banjir menurun kepada 208 mangsa daripada 60 keluarga berbanding 217 mangsa daripada 63 keluarga malam tadi yang ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Sivik Paka dan SK Durian Mentangau.
Dua lagi daerah kekal tidak berubah iaitu Marang (39 mangsa daripada 13 keluarga) di SK Pasir Putih dan Setiu (27 mangsa daripada 5 keluarga) di Surau Kampung Nyatoh.
Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 12,064 orang daripada 4,406 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 12,771 orang daripada 4,584 keluarga malam tadi.
Menurut Infobanjir, sebanyak 27 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.
Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu sebanyak 7,999 orang daripada 3,108 keluarga yang ditempatkan di 19 pusat pemindahan, diikuti jajahan Tumpat sebanyak 4,038 orang daripada 1,293 keluarga yang ditempatkan di 7 pusat pemindahan.
Terdapat 27 orang daripada 5 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh.
Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9 meter (m), namun menunjukkan trend penurunan iaitu 9.47m berbanding 9.69m malam tadi.
Paras air Sungai Kelantan semakin surut dan berada di bawah paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 12.62m berbanding 12.89m malam tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal.
Keadaan cuaca hari ini dijangka cerah.