Ringgit akan melantun suku ketiga 2017

Ringgit akan melantun suku ketiga 2017

Pihak bank mengunjurkan ringgit akan pulih kepada nilai saksama 4.1 berbanding dolar AS pada suku ketiga tahun ini

Othman-Aziz
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz hari ini bersetuju dengan unjuran pihak bank bahawa ringgit akan pulih kepada nilai saksama 4.1 berbanding dolar AS pada suku ketiga tahun ini.

Pihak bank mengunjurkan pemulihan itu berdasarkan peningkatan harga komoditi seperti getah dan minyak sawit selain asas ekonomi yang kukuh, katanya.

Pada 4.00 petang, ringgit mengukuh kepada 4.4830/4870 berbanding dolar selepas dibuka pada 4.4870/4900 pada 9.00 pagi, ekoran harga minyak yang meningkat, yang akan menambah hasil kerajaan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras bagi harga minyak, masih berlegar melepasi US$55 setong.

“Ini merupakan kitaran, dan bukan kali pertama kita alami, kita sudah menyaksikan paras yang lebih teruk, pada paras 5.3 sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas melawat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di sini hari ini.

Othman berkata pelabur tidak memasuki pasaran sehingga Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Donald Trump, mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari 2017.

“Ada yang berkata bahawa perkara lebih buruk akan berlaku, namun kita tunggu majlis angkat sumpah Trump. Apa yang anda dengar sekarang bukan yang sebenarnya, hanya ‘dengar cakap’ sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata ringgit dijangkakan mengukuh pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata kerajaan tidak bercadang melaksanakan kawalan modal.

Penyusutan ringgit dan mata wang pasaran pesat membangun yang lain disebabkan janji Trump untuk memulihkan ekonomi Amerika Syarikat dengan membawa balik lebih banyak pekerjaan dalam negara.

“Ia merupakan fenomena jangka pendek,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, beliau berharap menerusi pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia, ringgit akan menjadi lebih kukuh dalam beberapa bulan akan datang.

Ditanya sama ada isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyumbang kepada penurunan ringgit, beliau berkata ia merupakan tanggapan yang dicetuskan oleh pihak tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.