
PETALING JAYA : Walaupun mendapat kecaman masyarakat kerana memanjat papan tanda gergasi “Ipoh” sebelum ini, seorang daripada 8 remaja terbabit menerimanya dengan positif.

Malah, Norfarihan Baharuddin, 23, ceria bercerita mengenai perancangan masa depannya untuk mendaki satu daripada 7 gunung (G7) tertinggi di Semenanjung Malaysia dan Asia Tenggara.
“Perancangan terdekat, saya ingin mendaki Gunung Tahan. Cuma saya sekarang ini tengah memperlahankan aktiviti kerana masyarakat memandang remeh (kejadian memanjat Ipoh),” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.
Semalam, mereka meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia kerana bertindak demikian.
Mengulas lanjut, Norfarihan menegaskan kecaman yang diterima tidak mematahkan semangat untuk terus melakukan aktiviti dan sukan lasak kerana ia merupakan hobinya.

“Ia tidak patahkan (semangat) sebab itu minat saya,” katanya.
Menurut Norfarihan lagi, beliau turut dihubungi banyak pihak untuk memberikan tajaan.
“Ada yang ajak saya ke Brunei untuk aktiviti menyelam sebab mereka tahu saya ada lesen,” katanya.
Norfarihan berkata, beliau turut menggemari aktiviti lasak lain seperti berkayak dan berakit arus deras (white water rafting) selain mendaki.
Antara gunung popular yang sudah ditaklukinya adalah Gunung Bromo, Yong Belar, Irau, Semanggol dan Bukit Kutu.