
Exco Ean Yong Hian Wah berkata pegawai yang terlibat dengan kejadian itu, yang berlaku di acara sambutan ambang tahun baharu Pesta Gegar Klang 2016, diarahkan bercuti sehingga siasatan selesai.
“Pegawai yang terlibat dalam isu ini telah diberikan arahan untuk mengambil cuti mulai 3 Januari 2017 hingga 31 Januari 2017, sementara menunggu laporan penyiasatan.
“Kerajaan Negeri memandang serius tentang insiden ini. Sebarang pegawai atau pihak yang didapati berlaku cuai dan menyalahguna kuasa akan dikenakan tindakan disiplin atau undang-undang,” kata Ean dalam satu kenyataan hari ini.
Pertunjukan bunga api yang dianjurkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Kompleks Sukan Pandaraman bertukar panik apabila bunga api meletup, menyebabkan 10 orang dewasa dan 4 kanak-kanak cedera.
Menurut Ean Yong, siasatan awal MPK mendapati pihak berkuasa tidak pernah meluluskan pertunjukan bunga api itu.
“Ia bukan salah satu komponen atau pertunjukan di dalam program rasmi Pesta Gegar Klang tahun 2016,” katanya.
MPK menubuhkan satu jawatankuasa penyiasatan pada 1 Januari lalu, dianggotai 2 pengarah, 1 timbalan pengarah, dan kakitangan pentadbiran daripada jabatan yang tiada kaitan dengan acara itu.
Presiden MPK Mohamad Yasid Bidin berkata siasatan dijangka selesai dalam masa 2 minggu.
Sementara itu, Ali Parlimen Klang Charles Santiago mengecam penganjur yang mengambil khidmat syarikat tidak berlesen untuk mengadakan pertunjukan bunga api.
“Kerajaan Selangor perlu menubuhkan satu pasukan siasatan, untuk mencadangkan langkah keselamatan dan protokol yang akan digunakan oleh semua pihak berkuasa tempatan di masa depan.”
MPK sebelum ini dilaporkan tidak memohon permit untuk mengadakan pertunjukan bunga api.