Kos tak mahal punca peniaga masih beri beg plastik percuma

Kos tak mahal punca peniaga masih beri beg plastik percuma

Peniaga berkata, kos membeli beg plastik tidak membebankan dan mereka masih mampu menanggungnya.

beg-plastik
PETALING JAYA:
Walaupun Selangor mengharamkan peniaga menggunakan beg plastik dan bekas polisterina mulai tahun ini, masih ada peniaga yang memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan memandangkan kosnya tidak tinggi.

Peniaga pisang goreng cheese, Saiful Syazni Mahamad Tajudin berkata, pihaknya tidak akan mengenakan caj 20 sen untuk beg plastik kepada pelanggannya.

“Tak akan kenakan (caj 20 sen). Setakat ini belum membebankan kami lagi kerana kami beli beg plastik pun dalam kuantiti pukal.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan (keputusan) kerajaan Selangor membuat kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ demi menjaga alam sekitar,” katanya kepada FMT.

Pada 21 Disember lalu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong dilaporkan berkata, bekas makanan polisterina dan beg plastik tidak akan dibekalkan peniaga secara percuma mulai 1 Januari lalu.

Beliau berkata, peniaga akan mengenakan caj minimum 20 sen kepada pengguna yang memerlukan beg plastik.

Peniaga pasar mini, Mohd Ali Hamdan berkata, hanya pelanggan yang membeli barang dalam kuantiti kecil akan dikenakan caj 20 sen.

“Kita hanya kenakan caj kepada pengguna yang membeli barang sedikit. Kalau mereka membeli barang yang banyak, kita tidak akan kenakan caj kerana kos beg plastik yang kita beli daripada pemborong pun tak tinggi dan kita boleh tanggung sendiri,” katanya.

Peniaga makanan, Suharti Tirmaun bagaimanapun berkata, pelanggannya tidak dikenakan caj 20 sen bagi beg plastik kerana beliau tidak tahu mengenai pelaksanaan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” oleh kerajaan negeri Selangor.

“Saya rasa caj 20 sen kepada pengguna itu tidak okey. Peniaga kena bagi beg plastik juga,” katanya.

Selangor haramkan beg plastik mulai 2017, kata exco

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.