Haji mabrur: Berdosa keluar fatwa tanpa ilmu, kata mufti Pahang

Haji mabrur: Berdosa keluar fatwa tanpa ilmu, kata mufti Pahang

Mufti Pahang itu berkata, jika fatwa yang dikeluarkan itu menyimpang daripada landasan Islam sebenar, ia boleh mendatangkan fitnah sekali gus memecahbelahkan masyarakat.

7

KUANTAN: Tindakan mengeluarkan fatwa kepada orang ramai tanpa ilmu adalah satu dosa, kata mufti Pahang.

Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, sekiranya fatwa yang dikeluarkan itu menyimpang daripada landasan Islam sebenar, ia boleh mendatangkan fitnah sekali gus memecahbelahkan masyarakat.

“Orang yang tidak tahu fatwa, (tetapi) dia mengeluarkan fatwa, dia melakukan satu dosa (kerana) mengeluarkan fatwa tanpa ilmu,” katanya pada sidang media semalam.

Abdul Rahman mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa jemaah yang menunaikan haji menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan mendapat haji mabrur kerana wang haram yang dikatakan dicuri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Rahman berkata, tiada bukti jelas dan sahih mengikut undang-undang mengatakan wang itu adalah hasil curi, sekali gus menjadi haram kepada umat Islam di negara ini menggunakan wang itu untuk menunaikan haji.

“Kita tidak dapat menentukan status halal atau haram wang tersebut kerana dengan jelas tidak ada bukti sahih, ia sekadar tohmahan pihak pembangkang, lebih-lebih lagi yang memang cuba menjatuhkan dan memburukkan kerajaan.

“Saya sebagai mufti Pahang pun tidak berani membuat (sebarang) kenyataan tanpa bukti, apabila tidak ada bukti, dari segi syarak dan kaedah feqah, kita menghukum di atas benda yang zahir sahaja, dan Allah sahaja menghukum perkara batil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, hanya Allah yang berhak menentukan sama ada ibadah haji seseorang itu mabrur ataupun tidak kerana mabrur bukan sesuatu yang boleh diukur.

“Kalau kita hendak membuat perbandingan dengan ibadat lain seperti sembahyang, sembahyang kalau seseorang itu cukup rukun dan syarat, dari segi zahir sembahyang ini sah, begitu juga haji yang dilakukan menepati kehendak rukun syarat haji, maka sah ibadah haji seseorang itu,” katanya.

Mufti Kelantan: Jemaah tajaan 1MDB tak perlu risau haji mabrur

Haji tak mabrur guna duit 1MDB, kata Dr Mahathir

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.