
Zunar atau nama sebenarnya, Zulkilflee Anwar Ulhaque berkata, tindakan undang-undang itu dibuat berdasarkan penahanannya pada bulan lalu.
“Ia adalah majlis tertutup mengutip dana, tetapi polis datang dan menahan saya bersama 2 rakan dan pembantu saya.
“Mereka juga merampas 1,300 buku membabitkan 12 tajuk dan 100 t-shirt untuk dijual hari itu.
“Mereka menggunakan Seksyen 124 Kanun Keseksaan terhadap saya dan saya percaya ini dilakukan dengan niat jahat,” katanya kepada FMT.
Seksyen 124 Kanun Keseksaan merujuk aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen, peruntukan yang disifatkan Zunar sebagai tidak masuk akal kerana beliau sekadar melukis kartun.
Beliau berkata, ini adalah alasannya untuk membawa polis ke mahkamah supaya hakim mengisytiharkan penahanan itu menyalahi undang-undang dan mengarahkan polis memulangkan karyanya.
“Ini akan menjadi tindakan undang-undang ke-2 saya terhadap polis. Saman pertama selepas penahanan pertama saya pada 2010.
“Dalam kes itu, mahkamah mendapati polis bersalah kerana merosakkan karya asli saya dan mengarahkan mereka membayar ganti rugi kepada saya.
“Tetapi, kami tidak bersetuju dengan jumlah (ganti rugi) itu, jadi kami akan kembali ke mahkamah pada 16 Februari nanti untuk tujuan ini.”
Zunar ditahan pada majlis “Minum Petang Bersama Zunar” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), kira-kira jam 3 petang, 17 November lalu.
Beliau disoal siasat polis hampir 6 jam, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada tengah malam hari sama.
Ia adalah penahanan ke-2 dalam tempoh tidak sampai sebulan, selepas beliau ditahan di Pulau Pinang pada 26 November lalu kerana menjejaskan keamanan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.
Walaupun tidak yakin dengan sistem “sebahagian bebas” kehakiman negara, khasnya dalam kes didakwanya bermotifkan politik, Zunar percaya ia masih penting untuknya menyaman polis.
Beliau berkata, tuntutan itu bukan untuk mendapatkan wang atau sebab peribadi lain, sebaliknya untuk mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat biasa.
“Ia amat sukar untuk saya menang, tetapi sangat penting untuk saya memfailkan saman itu kerana ia boleh mewujudkan kesedaran. Tak apa jika saya tidak menang.
“Tetapi, sekurang-kurangnya rakyat akan tahu ini keadaannya di negara kita. Kita tidak boleh melukis kartun lagi.”
Zunar turut menghadapi 9 dakwaan hasutan atas kritikannya menerusi Twitter terhadap keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.
Jika sabit kesalahan dalam semua pertuduhan itu, Zunar boleh dihukum penjara maksimum 43 tahun di bawah Akta Hasutan.
Beliau bagaimanapun memfailkan saman mencabar keperlembagaan undang-undang itu yang akan memulakan perbicaraan pada 24 Januari ini, menurut kenyataannya pada November lalu.