Mulai 2018, sesi belajar Tabika Kemas dilanjut hingga 5 petang

Mulai 2018, sesi belajar Tabika Kemas dilanjut hingga 5 petang

Ismail Sabri berkata, lanjutan itu antara lain bertujuan menjadikan Tabika Kemas sebagai 'transit' kepada kanak-kanak sementara ibu bapa mereka bekerja

kemas-edit
SEPANG:
Sesi pembelajaran Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bakal dilanjutkan sehingga 5 petang mulai 2018, kata menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan itu antara lain bertujuan menjadikan Tabika Kemas
sebagai “transit” kepada kanak-kanak sementara ibu bapa mereka bekerja.

“Ia inisiatif kementerian untuk meringankan beban keluarga selepas mengambil kira cadangan dan pandangan ibu bapa yang bimbang dengan keadaan anak-anak semasa mereka bekerja,” katanya selepas meninjau hari pertama persekolahan Tabika Sri Siantan, hari ini.

Ketika ini, sesi pembelajaran Tabika Kemas bermula 7.30 pagi dan berakhir 11 pagi.

Ismail Sabri berkata, kementerian akan mengkaji pelbagai aspek berkaitan, seperti kos serta peruntukan, memandangkan lanjutan waktu pembelajaran turut melibatkan penambahan tenaga pengajar.

Beliau berkata, dari aspek akademik pula, ia akan diisi dengan aktiviti seperti kelas bahasa.

Ismail Sabri berkata, Tabika Kemas menerima 223,000 pelajar di seluruh negara membabitkan kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun untuk sesi pengajian tahun ini.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM120 juta bagi penyediaan buku aktiviti pembelajaran, pembelian peralatan, pakaian seragam dan bantuan makanan tambahan untuk sesi pengajian tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM6.3 juta untuk membaik pulih atau menaik taraf kira-kira 200 tabika dan taska di bawah kendaliannya yang uzur demi keselesaan murid.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata, 89 Tabika Kemas ditutup akibat banjir yang melanda pantai timur, iaitu 73 di Kelantan dan 16 Terengganu.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 4,208 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 3,774 orang pagi tadi.

Situasi banjir di Terengganu kembali membimbangkan dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,712 orang pada 1 tengah hari ini berbanding 798 orang pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.