Pemilik darah jenis ‘A’, tolong derma darah anda

Pemilik darah jenis ‘A’, tolong derma darah anda

Kementerian Kesihatan berkata kebanyakan penderma yang biasa menderma darah mungkin bercuti menyebabkan kekurangan bekalan darah pada penghujung tahun.

Dr-S-Jeyaindran-blood-bag-A-1
PETALING JAYA:
Bekalan darah jenis “A” di Pusat Darah Negara berada pada paras kritikal dan penderma digesa menderma darah terutama bagi kumpulan itu.

Menerusi posting di laman webnya, bank darah itu berkata penggunaan bekalan darah jenis “A+” dan “A-“ sudah dioptimumkan dan kini pada paras bahaya sementara status jenis “B” dan “AB” di paras sederhana.

Katanya, mujur bekalan darah kumpulan “O” mencukupi, yang biasanya boleh digunakan untuk semua jenis darah.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr S Jeyaindran berkata kebanyakan penderma bercuti menyebabkan bekalan darah berkurangan ketika musim Krismas dan Tahun Baru, serta cuti sekolah panjang.

“Kebanyakan orang bercuti panjang. Ini menyebabkan jumlah penerimaan derma di pusat darah berkurangan.

“Bila jumlahnya pada paras rendah, pusat darah akan meletakkan makluman di laman web dan media lain untuk menggalakkan orang ramai datang menderma,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata jika bekalan darah semakin rendah ia akan menghubungi penderma biasa mereka atau membuka pondok menderma darah di pusat latihan tentera atau polis untuk menderma darah.

“Langkah lain ialah membuka tempat menderma darah untuk menggalakkan penderma baharu,” katanya.

Darah yang didermakan itu digunakan untuk pelbagai keadaan pesakit termasuk anemia, leukemia, ketika pembedahan dan pemindahan organ.

Penderma kumpulan darah “A” digesa datang ke Pusat Darah Negara di Jalan Tun Razak atau mana-mana kempen derma darah untuk membantu mereka yang memerlukan.

Pusat Darah Negara dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 8 malam pada hari biasa dan 8 pagi hingga 4 petang pada Sabtu dan Ahad.

Bagi keterangan lanjut mengenai derma darah, sila hubungi 03-2613 2688.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.