Pengusaha bas mahu kelas memandu percuma

Pengusaha bas mahu kelas memandu percuma

Ia akan membantu mengisi kekurangan 3,000 pemandu bas ekspres, kata persatuan pengusaha bas

Ashfar-Ali_bas_600
PETALING JAYA:
Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA) mengalu-alukan amaran Kementerian Pengangkutan kepada syarikat agar menyediakan pemandu kedua untuk perjalanan jauh.

Presiden Datuk Mohamad Ashfar Ali bagaimanapun meminta kementerian supaya meneliti isu kekurangan pemandu bas ekspres.

“Peraturan itu sudah ada sejak beberapa tahun dan kita patuh. Bagaimanapun, kementerian perlu tangani isu kekurangan pemandu,” katanya kepada FMT.

Ashfar menyarankan kementerian supaya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) dan Kementerian Sumber Manusia.

“Kita cadangkan Spad dan kementerian sediakan kursus pemandu komersil percuma. Industri pengangkutan kekurangan 3,000 pemandu setiap tahun.”

Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai mengumumkan pengusaha akan dikenakan denda dan permit digantung sekiranya mereka tidak menyediakan pemandu kedua untuk perjalanan 300km atau melebihi 4 jam.

FMT sebelum ini melaporkan Ashfar sebagai berkata kekurangan pemandu itu ekoran kos tinggi untuk menjadi seorang pemandu, bahkan 1/3 pemandu bas di Singapura adalah rakyat Malaysia.

“Ia boleh menelan belanja sehingga RM5,000 untuk menjadi seorang pemandu bas dan lori, termasuk memperoleh pelbagai lesen dan yuran lain,” katanya.

Kenderaan pengangkut awam dan komersil yang besar memerlukan lesen E.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.