
Ketua Pegawai Eksekutif Stoper AAM Datuk Asa Fan berkata beliau berharap dapat mengubah banyak perkara terhadap syarikat yang sebelum ini dilanda krisis itu.
“Saya bagi diri saya 6 bulan, walaupun tempoh itu agak panjang tapi saya harap banyak perkara dapat diubah,” katanya kepada FMT ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tempoh yang diperlukan pihaknya untuk memulihkan kembali syarikat itu.
Sebelum ini, dilaporkan AAM tidak membayar gaji kepada kira-kira 300 pekerja mereka selama 3 bulan dan ahlinya memutuskan untuk tidak meneruskan langganan.
Terbaru, pekerja yang mendakwa masih lagi bekerja dengan AAM, Mohamad Tajuddin Jailani, 48, mendakwa sehingga kini sudah hampir 5 bulan tidak menerima gaji.
Mengulas mengenai tunggakan gaji pekerja AAM selama 3 bulan sebelum ini, Asa berkata bekas pekerja dan pekerja yang masih bekerja dengan pengurusan baharu akan menerima gaji tertunggak itu.
“Saya janji dengan setiap orang yang pernah bekerja dengan AAM tetapi tidak menerima gaji, mereka akan mendapat bayaran tunggakan itu tapi bukan secara serentak,” katanya.
Asa berkata seramai 101 pekerja AAM masih lagi bekerja selepas pengambilalihan pengurusan baharu dan beliau juga mengalu-alukan pekerja yang berhenti di bawah pengurusan lama untuk bekerja bersamanya.
“Kami datang dengan kumpulan baharu untuk memberikan bantuan. Selepas semua ok dan pulih kami akan keluar. Kami datang untuk tolong. Tidak ada motif lain,” katanya ketika menjawab soalan mengapa berminat untuk mengambil alih AAM.
Asa yang juga CEO Stoper Industries Holdings Sdn Bhd, syarikat pembekal barangan pertahanan berkata beliau percaya apa yang terjadi terhadap AAM sebelum ini disebabkan masalah pengurusan.
“Saya mengadakan lawatan ke beberapa cawangan dan terkejut kerana diberitahu selama ini tidak ada CEO atau pengerusi melawat ke sana.
“Tersentuh hati saya melihat keadaan itu dan saya serta pasukan saya bertekad untuk melakukan sesuatu bagi memulihkan AAM,” katanya