
“Tidak ada terima,” katanya kepada FMT ketika diminta memberi pengesahan berhubung surat itu.
Laporan FMT hari ini memetik sumber yang berkata Ezam menghantar surat kepada Shahruddin bagi memaklumkan keputusannya berundur daripada PPBM, kurang 3 bulan selepas penyertaannya.
Menurut laporan Malaysiakini pula, Ezam berkata surat tersebut dihantar seminggu lalu.
Ezam merupakan ahli politik ke-2 yang mengambil keputusan keluar daripada PPBM, selepas Datuk Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.
Ia seminggu selepas pergolakan dalaman parti itu apabila Anina Saadudin berkata belia dipecat daripada jawatan ketua wanita, Srikandi.
Namun kenyataannya itu disangkal Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang menyatakan parti itu belum menubuhkan sayap wanita, menjadikan isu “pemecatan” tidak timbul.
Ketua Penerangan Datuk Kamarudin Mohd Noor ketika dihubungi berkata, tempoh masa yang dekat antara kedua-dua insiden itu hanya kebetulan dan tiada perkaitan.
“Pengunduran Ezam hanya kerana keputusan lembaga pengarah NGO Hisbah Centre for Reform untuk tidak membenarkan Ezam sebagai pengerusi terlibat dalam parti politik.
“Jadi kita boleh terima dan hormati keputusan itu,” katanya yang bertemu sendiri dengan Ezam dan membincangkan perkara itu.
Namun menurut sumber yang memberitahu FMT, lebih ramai aktivis PPBM akan mengikut langkah Ezam dan Khairuddin selepas ini.