Jamal Yunos bawa ‘Azmin’, ‘Ean Yong’ serbu pusat judi

Jamal Yunos bawa ‘Azmin’, ‘Ean Yong’ serbu pusat judi

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu menyerbu 2 pusat perjudian haram di Jalan Kosas, Ampang Jaya bersama 100 orang pengikut

Jamal
AMPANG:
Datuk Seri Jamal Yunos tampil lagi, kali ini dengan jubah dan kopiah putih, menyerbu 2 pusat perjudian haram di Ampang Jaya.

Beliau tampil bersama 100 pemuda bermotor pada 3.45 petang tadi, dan potongan gambar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta exco kerajaan tempatan, Ean Yong Hian Wah untuk “bersama” meninjau operasi hari itu.

jamal-3

“Saya mohon lesen tak dapat, tetapi kedai judi dapat lesen. Orang kita beri kepercayaan kepada menteri besar, akhirnya beliau khianati dengan biarkan premis perjudian di Selangor.,” katanya di sidang media selepas serbuan itu.

Kehadirannya menyebabkan kira-kira 50 orang pengunjung pusat judi di Jalan Kosas itu, rata-ratanya pemuda Melayu, bertempiaran lari sebelum ketibaan polis.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mendakwa premis itu antara 400 pusat perjudian dan 600 rumah urut yang beroperasi di Ampang.

jamal-1

“Adakah pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan lesen kerana mendapat tekanan daripada ahli politik kerajaan negeri?

“Lesen macam ini bersepah boleh dapat. Orang niaga nasi lemak pun kena saman, kena sita. Nasib baik menteri besar turun untuk Nasi Lemak Anak Dara,” katanya.

Anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dikejarkan ke lokasi untuk memastikan keadaan selamat, diikuti sebuah trak MPAJ.

jamal-2

Setakat 6.20 petang tadi, tiada rampasan dibuat sementara pihak berkuasa menunggu arahan lanjut daripada pihak atasan masing-masing.

Semalam, Jamal mengancam akan menyewa jentera berat untuk merobohkan sendiri pusat perjudian dan rumah urut haram jika pihak berkuasa tempatan tidak bertindak terhadap premis terbabit.

Jamal hari ini berkata tindakan memberikan lesen kepada pengusaha kedai judi menyukarkan tugas polis membanteras kegiatan judi haram.

“Polis nak gempur, tetapi premis ini berlesen. Pihak majlis hanya pandai mengeluarkan lesen, tetapi tidak pandai mengawal dan memantau kedai-kedai sebegini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.