Polis: Indeks jenayah Selangor turun bukti aktiviti kepolisan berkesan

Polis: Indeks jenayah Selangor turun bukti aktiviti kepolisan berkesan

Bagaimanapun, beberapa kategori jenayah meningkat tahun ini, iaitu samun tanpa senjata api 133 kes (17%); kecurian harta benda 655 kes (16%); jenayah kekerasan 60 kes (5%) dan jenayah ragut 43 kes (4%).

polis
SHAH ALAM:
Indeks jenayah di Selangor tahun ini yang turun 1,117 kes berbanding 2015 membuktikan strategi pencegahan dan aktiviti kepolisan yang dilakukan semakin berkesan.

Malah, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya akan menggerakkan strategi itu dengan lebih agresif tahun depan.

Menurutnya, penurunan itu merangkumi 30,952 kes dalam pelbagai kategori jenayah yang direkodkan sehingga semalam berbanding 32,069 kes yang direkodkan tahun lalu.

Abdul Samah berkata, walaupun penurunan 3.4% itu tidak mencapai sasaran 5% yang ditetapkan, kes jenayah adalah terkawal dan pengurangannya dilihat positif.

“Kejayaan ini juga disebabkan kerjasama masyarakat, badan bukan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan dengan polis yang semakin meningkat hasil program kesedaran dalam mendekati orang ramai yang kita laksanakan.

“Kerjasama ini akan dieratkan lagi agar semua kategori indeks jenayah dapat diturunkan pada masa depan,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 137 penerima bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Abdul Samah bagaimanapun berkata, ada beberapa kategori jenayah menunjukkan peningkatan tahun ini, iaitu samun tanpa senjata api sebanyak 133 kes (17%); kecurian harta benda 655 kes (16%); jenayah kekerasan 60 kes (5%) dan jenayah ragut 43 kes (4%).

Beliau menegaskan Polis Selangor akan memberi lebih fokus kepada kesalahan berkenaan tahun depan sebagai usaha mengekang jenayah seterusnya menurunkan lagi statistik jenayah.

Menurutnya, trend jenayah semasa juga sedang dikaji pihaknya dalam membentuk strategi pencegahan lebih efektif tahun depan dan orang ramai diminta turut aktif menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan haram.

Sementara itu, mengulas insiden tembakan di Dengkil, pada Jumaat lalu, Abdul Samah berkata, siasatan menunjukkan pergaduhan melibatkan kumpulan kongsi gelap ’08’ dan ‘Satu Hati’ itu dipercayai akibat kegiatan pemerasan serta berebut kawasan.

“Kita akan siasat lebih teliti insiden ini kerana kedua-dua kumpulan kongsi gelap itu memang aktif di kawasan Dengkil dan sekitarnya. Setakat ini 20 lelaki tempatan ditahan dan polis percaya mereka terlibat dalam insiden berkenaan.

“Kita masih siasat motif 2 tembakan dilepaskan walaupun siapa yang melepaskan tembakan itu sudah dikenal pasti,” katanya mengenai kejadian tembakan di sebuah restoran yang disyaki bermula dengan pergaduhan akibat perselisihan faham kedua-dua kumpulan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.