Polis: Hujan luar biasa punca tanah runtuh di Cameron Highlands

Polis: Hujan luar biasa punca tanah runtuh di Cameron Highlands

Ketua polis daerah Cameron Highlands berkata, banjir kilat dan tanah runtuh disebabkan taburan hujan melebihi kadar normal sehingga membawa kepada pergerakan cerun Ahad lalu.

banjir-tanah-rata
CAMERON HIGHLANDS:
Insiden tanah runtuh dan banjir kilat di beberapa kawasan di sini Ahad lalu bukan berpunca daripada kegiatan pencerobohan tanah.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Hasadid A Hamid sebaliknya berkata, kejadian itu disebabkan taburan hujan melebihi kadar normal sehingga membawa kepada pergerakan cerun pada hari tersebut.

Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi, pada hari kejadian, Tanah Rata menerima curahan hujan dari 2 petang sehingga 5 petang melebihi 100mm melepasi tahap normal 20mm.

“Hasil siasatan polis, Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Cameron Highlands mendapati banjir kilat dan tanah runtuh berpunca daripada curahan dan limpahan air hujan luar biasa,” katanya kepada pemberita di lokasi tanah runtuh membabitkan rumah peranginan Tenaga Nasional Bhd (TNB) ‘The Sharples’ hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, runtuhan menyebabkan bahagian hadapan rumah penginapan itu serta 4 kenderaan rosak, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Selain itu, tanah runtuh dan pokok tumbang juga berlaku di Kilometer 55, Jalan Tapah-Tanah Rata berhampiran ladang Bharat Tea; Kilometer 59, Jalan Tapah-Tanah Rata berhampiran Oly Apartment; dan Jalan Perdah, manakala perumahan polis di Tanah Rata dilanda banjir kilat.

Katanya, semua lokasi terlibat dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh sudah dibuka serta selamat untuk dilalui semua jenis kenderaan, kecuali di ‘The Sharples’.

Hasadid berkata, setakat ini, pihaknya menerima 3 laporan polis berkaitan insiden itu dan laporan penuh siasatan dijangka diperolehi dalam 3 bulan lagi.

“Namun, saya ulangi sekali lagi kejadian tersebut tiada kaitanpencerobohan tanah kerana tiada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di atas bukit,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dengan bantuan pejabat Meteorologi sedang memantau beberapa lokasi, antaranya Bharat Tea, Kampung Raja dan Kuala Terla yang berisiko berlaku tanah runtuh.

Selain itu, Hasadid menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang penyebaran maklumat palsu mengenai kejadian bencana di Cameron Highlands, selagi tidak disahkan pihak berkuasa.

“Tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih hanya menimbulkan kegusaran pelancong dan masyarakat setempat,” katanya.

Banjir kilat landa Tanah Rata di Cameron Highlands

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.