
Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei Aik berkata, ahli perniagaan, Patrick Ooi, boleh menemuinya jika beliau mahu.
“Beliau boleh datang dan bercakap dengan saya, dan saya akan mendengar masalah beliau. Kita boleh melihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu beliau dengan isu pematuhan di kafe beliau.
“Saya mungkin boleh membantu beliau memastikan kafenya mematuhi peraturan dan keperluan majlis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ooi dan kafe Kaffa menjadi tajuk berita minggu lalu selepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merobohkan tandas dibina secara haram di Kaffa Espresso Bar di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Dua hari kemudian, cawangan kafe di Lebuh China diserbu kerana beroperasi tanpa lesen dan tidak mengambil langkah mencegah binatang perosak daripada membiak. Pegawai penguatkuasa majlis melaporkan mendapati najis tikus di belakang kafe.
“Bagi isu kebersihan, kafe hanya perlu membuat penambahbaikkan. Kita juga boleh melihat apa yang perlu dilakukan untuk kafe bagi memohon dan mendapatkan lesen.
“Pemilik sepatutnya datang dan bercakap dengan saya. Lagipun, Lebuh China di bawah kawasan Parlimen saya. Saya mungkin tidak dapat membantu beliau memohon lesen, “kata Ng, sambil menambah lesen operasi mestilah diperbaharui setiap tahun dengan pengendali mematuhi segala peraturan majlis.
Ng berkata adalah perkara biasa ada pihak tidak berpuas hati selepas majlis mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka atau premis.
Katanya, beliau sudah berurusan dengan ramai orang di kawasannya yang mendapatkan pertolongannya berhubung isu penguatkuasaan majlis.
“Saya pernah melihat kes seperti ini. Saya boleh membantu pemilik perniagaan dengan meminta majlis menangguhkan tindakan penguatkuasaan selama satu hingga 2 bulan untuk memberi masa kepada pemilik membetulkan semuanya..
“Dalam tempoh itu, mereka mesti cuba mematuhi syarat atau menghantar permohonan yang diperlukan. Jika mereka masih gagal berbuat demikian, maka tindakan penguatkuasaan tidak boleh dihentikan,” katanya.
Ooi mendakwa tindakan penguatkuasaan terhadap kafe beliau susulan kenyataannya dalam media Cina yang mengkritik Ketua Menteri Lim Guan Eng, dan ia seiring dengan posting “amaran” ahli majlis DAP di Facebook yang tindakan penguatkuasaan akan diambil.
Beliau berkata, urutan peristiwa tidak boleh berlaku secara kebetulan.
Isu itu juga diambil Gerakan Pulau Pinang dan MCA, yang membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mendakwa berlakunya kemungkinan penyalahgunaan kuasa dan buli siber.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Perlesenan MBPP, Ong Ah Teong berkata penguatkuasaan itu adalah tindakan rutin pihak pentadbiran serta tidak mempunyai kaitan dengan kritikan Ooi terhadap Lim.