
Pusat Perhimpunan Mahasiswa Katolik Republik Indonesia (PMKRI) membuat aduan itu susulan ceramah Rizieq yang tersebar di Internet yang mempersoalkan kepercayaan Kristian mengenai konsep ketuhanan.
“Kalau Tuhan beranak, bidannya siapa,” Rizieq dilaporkan berkata, mempersoalkan konsep anak Tuhan dalam agama Kristian.
Ketua Umum PMKRI Angelius Wake Kako berkata kenyataan itu satu penghinaan.
“Setiap rakyat Indonesia harus menghormati kepelbagaian dengan tidak mencampuri urusan dalaman agama lain,” katanya dipetik Jakarta Post.
“Hanya orang Kristian tahu mengenai agama Kristian. Sesiapa yang tidak arif, lebih baik diam.”
Turut menjadi sasaran laporan polis itu ialah Fauzi Ahmad, yang memuat naik klip video selama 22 saat ucapan Rizieq itu di Instagram, dan Saya Reya, yang memuat naik video itu di Twitter.
Rizieq boleh didakwa di bawah Artikel 156 Seksyen (a) Kanun Jenayah mengenai penghinaan agama, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun.
FPI yang diasaskan Rizieq pada 1998 merupakan kumpulan radikal yang kerap menimbulkan kontroversi berkait agama. Ia turut terlibat dalam pelbagai serbuan dan serangan yang dilakukannya dengan alasan menegakkan hukum syariah, termasuk serangan ke atas pengikut aliran Ahmadiyah di Banten pada 2011 yang berakhir dengan kematian 3 penganut.