
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, pihak majlis hanya menjalankan kerja rutinnya memeriksa gerai makanan untuk memastikan peniaga mengikuti peraturan dan undang-undang kecil.
Kafe Kaffa King di Lebuh China yang dimiliki Patrick Ooi, ahli perniagaan yang sama memiliki kafe Kaffa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di mana tandas dibina secara haram dirobohkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Rabu lepas.
Cawangan kafe Ooi di Lebuh China disaman kerana tidak mempunyai lesen operasi dan tidak mengambil langkah mencegah makhluk perosak seperti tikus, lipas, lalat, dan serangga daripada membiak.
Lawatan majlis dilakukan 2 hari selepas tandas dirobohkan, menyebabkan Ooi mempersoalkan sama ada beliau diperlakukan sedemikian kerana mengkritik Lim dalam akhbar Cina awal minggu lepas.
“Ia pemeriksaan rutin. Terdapat 5 cawangan diperiksa di jalan yang sama termasuk kafe itu pada Jumaat lepas.
“Pihak majlis memeriksa kedai makanan berlesen dan tidak berlesen untuk memberi gred tahap kebersihan. Ia juga menentukan sama ada kafe layak menerima anugerah pada Hari Penjaja,” katanya kepada pemberita hari ini di pusat khidmat beliau di Jalan Kedah.
“Saman boleh dikeluarkan agar pemilik mematuhi peraturan tertentu atau membuat penambahbaikan. Mereka yang menunjukkan prestasi di bawah 60 mata akan diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan, bukan majlis.
“Bagi tahun ini, sehingga Jumaat lalu, majlis bandar memeriksa 1,176 premis, dan 304 diberikan gred A, 679 B dan 146 C,” kata Chow.

Parti Gerakan dan MCA Pulau Pinang juga mengaitkan tindakan penguatkuasaan terhadap kafe Ooi kerana kenyataan kritikalnya baru-baru ini terhadap Lim.
Dilaporkan Ooi, mengkritik kepimpinan Lim dan disiarkan di beberapa akhbar Cina.
Chow berkata, isu tandas haram timbul pada Januari. Kaffa membuat merayu sebelum tandas dirobohkan.
“Ia di proses sejak Januari. Tiada faktor luaran. Tindakan penguat kuasa kali pertama adalah pada Julai tetapi ditangguhkan kerana pemilik merayu.
“Satu pelan bangunan dihantar pada Ogos untuk tandas tetapi pada September, majlis menolaknya. Arkitek diberitahu sebab penolakan itu dan memaklumkan tindakan perobohan akan dikenakan.
“Seorang inspektor bangunan memeriksa tandas dan apabila melihat tiada tindakan diambil untuk meruntuhkan struktur haram, pegawai membuat permintaan untuk merobohkannya.
“Perancangan dibuat dengan unit penguatkuasaan, pembekal utiliti dan pihak polis dan 21 Disember adalah tarikh yang dipilih. Ia adalah kebetulan berlaku selepas pemilik membuat kenyataan kepada media,” katanya.
Chow mengakui beliau sebelum ini memberikan Ooi “nasihat secara umum” agar mengemukakan lukisan bagi tandas kepada majlis tetapi ia ditolak kerana “kebenaran merancang diperlukan”.
“Saya hanya boleh memberi nasihat secara umum. Pemilik boleh meminta arkitek mengemukakan untuk maklumat lanjut, “katanya.
Tetapi Ooi tidak bersetuju ia adalah semata-mata amalan rutin pihak penguat kuasa seperti dijelaskan Chow. Beliau berkata terdapat pegawai penguatkuasa melawat premis di Pulau Pinang 3 kali dalam tempoh 4 hari.
“Mereka datang Lebuh China dan mendapati najis tikus, tetapi ia di luar di koridor. Kami ada kawalan mahkluk perosak dalam kafe.
“Ia bukan satu kebetulan itu. Semua berlaku dalam masa 4 hari selepas kenyataan saya keluar dalam akhbar Cina,” kata beliau sambil menambah ahli majlis DAP di Seberang Prai menyiarkan di Facebook agar tindakan diambil terhadap kafe di lapangan terbang pada 20 Dis, sehari sebelum perobohan itu.
Bercakap kepada FMT, Ooi berkata malah pihak lapangan terbang turut terkejut dengan tanda kafe yang dibina hampir 3 tahun yang lalu menimbulkan masalah.
Beliau menyatakan tandas berkenaan menyebabkan beliau kerugian RM30,000, dan hampir RM25,000 lagi untuk membayar denda serta menyediakan pelan untuk diserahkan kepada majlis.